Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia harap kerajaan AS terima penjelasan FGV

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia berharap supaya kerajaan Amerika Syarikat (AS) menerima penjelasan yang diberikan pihak FGV Holdings Bhd (FGV) berhubung beberapa dakwaan pihak berkuasa negara tersebut sehingga membawa kepada sekatan import produk sawit daripada syarikat berkenaan masuk ke AS.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata FGV telah pun memberikan penjelasan bagi menjawab dakwaan tersebut.

“Ini bukan pertama kali isu itu (dakwaan) dibangkitkan. Dalam sektor pembuatan, ia turut dibangkitkan dan kita telah memberi penerangan dan sebahagian masalah itu telah diselesaikan.

“Jadi, Malaysia berharap dengan penerangan yang diberikan, pihak AS akan menerima penjelasan dan menerima semula kemasukan semula produk keluaran FGV ke negara itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Pangsa Larkin di Johor Bahru, hari ini.

Mustapa berkata demikian bagi mengulas tindakan AS yang menyekat kemasukan produk syarikat berkenaan di pelabuhan mereka, baru-baru ini.

Beberapa hari lepas, Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) dilaporkan sebagai berkata sekatan terhadap produk-produk kelapa sawit daripada syarikat berkenaan adalah berdasarkan hasil siasatan dilakukan selama setahun.

Antara dakwaan agensi asing itu ialah syarikat itu menggunakan tenaga buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

- Bernama