Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Kelantan kembali perketat penguatkuasaan SOP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Kelantan kembali memperketatkan pelaksanaan penguatkuasaan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 selepas berlaku pertambahan kes positif di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, pihaknya juga meningkatkan lokasi sekatan jalan raya di kawasan tumpuan dan sempadan negeri.

"Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) memutuskan supaya semua agensi bekerjasama bagi penguatkuasaan sepenuhnya SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Pihak berkuasa bergabung tenaga kita ada di mana-mana khususnya di lokasi awam, kalau kalau tak pakai mask (pelitup muka) misalnya kita akan ambil tindakan," katanya kepada media selepas mesyuarat mingguan JKKNK di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod sehingga semalam terdapat sembilan kes positif Covid-19 di negeri itu sejak 23 Sept lalu.

Shafien berkata, pihaknya juga menambah setakat jalan raya bukan sahaja untuk disebabkan Covid-19 tetapi juga pencegahan jenayah.

Apa yang penting katanya, dengan adanya sekatan untuk memperlahankan pergerakan orang ramai.

"Sebelum ini ada tiga sekatan, bermula semalam ada enam sekatan terutamanya di sempadan negeri dan kawasan pusat bandar.

"Dalam tempoh dua hari lalu, seramai 113 orang dikenakan tindakan kompaun kerana tidak mematuhi SOP.

"Justeru itu saya menasihatkan kepada orang ramai dan pengusaha premis agar patuhi SOP. Sebelum ini mungkin agak longgar (penguatkuasaan) tetapi oleh kerana situasi kes terkini semakin bertambah, maka kita tidak boleh kompromi lagi," jelasnya.