Skip to main
Logo Malaysiakini

PIBG SK Permatang Janggus nafi tuntut Exco mohon maaf

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus menafikan mengeluarkan kenyataan yang kononnya menuntut seorang exco kerajaan negeri Kedah supaya memohon maaf kepada semua ibu bapa dan guru sekolah berkenaan susulan isterinya yang juga guru di situ positif Covid-19 sehingga menyebabkan sekolah tersebut ditutup.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata penafian itu dibuat oleh Yang Dipertua PIBG berusia 60 tahun selepas lelaki itu membuat laporan polis berhubung kenyataan palsu yang tersebar dalam media sosial semalam.

"Lelaki itu mendakwa dia tidak membuat sebarang kenyataan tersebut dan hanya mengetahui mengenainya selepas pihak SK Permatang Janggus menghubunginya semalam memaklumkan mengenai kenyataan media tersebut yang tular dalam media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

"Dia juga menafikan dan menegaskan dirinya atau ahli PIBG yang lain pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (SPU) semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, kenyataan media kononnya daripada PIBG SK Permatang Janggus tersebut tular dalam media sosial Facebook dan WhatsApp sejak semalam sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad mengarahkan SK Permatang Janggus ditutup sehingga 8 Okt ini, berikutan seorang guru wanita di situ positif Covid-19 dalam usaha membendung penularan pendemik Covid-19.

Berikutan itu, semua murid dan guru di sekolah berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19.

Pada Sabtu, media melaporkan terdapat tiga kes baru direkodkan di Pulau Pinang, membabitkan dua kes yang pulang dari Sabah dan satu lagi daripada kluster baru iaitu Bah Rose yang membabitkan warganegara, termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Permatang Janggus.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Noorzainy berkata polis menahan dua remaja lelaki berumur 19 tahun dan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah di Kepala Batas kerana berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dalam Op Samseng Jalanan malam tadi.

"Tiga remaja itu ditahan pada 10 malam ketika sedang berlumba dari Plaza Tol BORR Bagan Ajam hingga ke jejambat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum berpatah balik ke plaza tol arah Sungai Dua dengan melakukan aksi berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain," katanya.

-Bernama