Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Lokasi terjejas dalam tempoh dua minggu lalu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Negara kini menghadapi gelombang ketiga wabak Covid-19, dengan beberapa lokasi yang sering dikunjungi menyaksikan kes jangkitan.

Berbanding gelombang pertama pada Januari yang kebanyakannya merupakan kes import dan gelombang kedua pada Mac melibatkan jemaah tabligh, gelombang terbaru ini tertumpu berdekatan bandar.

Banyak kluster baru dikesan daripada individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah, di mana beberapa daerah kini berada dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

Kes Covid-19 dikesan di sebuah penjara di Tawau pada awal September lalu sebelum merebak dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama berlaku pilihan raya negeri Sabah, di mana aktivis politik dari seluruh negara turun ke negeri itu untuk berkempen bagi parti mereka.

Begitu juga, pelancong juga mengunjungi Sabah dalam tempoh tersebut.

Setelah mereka kembali ke negeri asal, kes Covid-19 dikesan di sekolah, universiti, pusat membeli-belah, pejabat kerajaan, tempat ibadah dan kawasan kediaman.

Malaysiakini telah membuat kompilasi senarai lokasi yang telah terjejas akibat Covid-19 dalam dua minggu lalu (23 Sept hingga 5 Okt).

Lokasi ini telah menjalani proses sanitasi dan selamat tetapi individu yang mungkin berhubungan rapat dengan orang yang dijangkiti Covid-19 harus berhati-hati.

Sekolah

Sekurang-kurangnya lapan sekolah kerajaan terjejas dalam tempoh dua minggu lalu.

Pada 25 September, seorang pelajar di Kolej Tunku Kurshiah di Seremban, Negeri Sembilan dikuarantin setelah bapanya, yang baru pulang dari Sabah, didapati positif Covid-19. Bapa pelajar berkenaan telah menemaninya pada hari pendaftaran di sekolah berasrama penuh itu.

Pada 28 September, dua beradik yang belajar di SMK Pandamaran Jaya di Klang, Selangor dijangkiti oleh saudara kandung lain yang baru pulang dari Sabah. Mereka adalah sebahagian daripada kluster Jalan Apas.

Pada 1 Oktober, seramai600 pelajar di SK Permatang Janggus di Penaga, Pulau Pinang diarahkan menjalani ujian Covid-19 setelah seorang guru dijangkiti wabak berkenaan. Guru tersebut adalah isteri kepada Exco kerajaan negeri Kedah, Azman Nasrudin (gambar atas), yang dijangkiti setelah pulang dari Sabah.

Pada 2 Oktober, dua kelas di SK Putrajaya Presint 8 (1) dilaporkan ditutup setelah seorang kakitangan dan anak perempuannya dijangkiti. Suaminya baru pulang dari Sabah. Mereka adalah sebahagian daripada kluster Selasih.

Pada hari yang sama, SK Padang Kemunting di Kuala Terengganu, Terengganu, diarah tutup setelah seorang guru dijangkiti virus tersebut. Suaminya baru pulang dari Sabah.

Pada 5 Oktober, SMK Kompleks Seberang Takir dan SK Kompleks Seberang Takir, juga di Kuala Terengganu, ditutup setelah pelajar dan guru mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 di sekolah tersebut.

Pada hari yang sama, para pelajar di SK Taman Tasik Ampang di Selangor diberitahu untuk menjalani ujian setelah seorang guru dijangkiti di rumah seorang rakan. 

Universiti

Sekurang-kurangnya enam institusi pengajian tinggi turut terjejas oleh gelombang terbaru kes Covid-19.

Pada 30 September, Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar, Perak, mengarahkan para pelajarnya untuk tidak kembali ke kampus setelah seorang pelajar, yang berasal dari kawasan berisiko tinggi, didapati positif Covid-19.

Pada 4 Oktober, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu, menutup ketiga-tiga kampusnya setelah seorang kakitangan positif Covid-19. Kakitangan itu berada dalam penerbangan Kuala Terengganu-Kuala Lumpur yang sama dengan seorang individu yang telah mengunjungi Sabah dan dijangkiti wabak berkenaan.

Pada 5 Oktober, Universiti Utara Malaysia di Kedah menangguhkan kelas setelah seorang pelajar yang kembali dari Sabah positif Covid-19.

Tiga lagi universiti terjejas setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengunjunginya baru-baru ini, setelah pulang dari Sabah. Dia disahkan positif Covid-19.

Zulkifli mengunjungi Universiti Sains Islam Malaysia di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilanpada 2 Oktober serta Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor dan Universiti Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor pada 4 Oktober.

Pusat beli-belah

Malaysiakini sebelum ini menyenaraikan enam pusat membeli-belah yang terjejas dengan kes Covid-19 baru-baru ini.

Yang terbaru dalam senarai tersebut adalah One Utama Shopping Center dan Paradigm Mall, kedua-duanya di Petaling Jaya, Selangor.

Kes di One Utama Shopping Center melibatkan seorang pekerja di outlet Pusat Servis Mac City pada 30 September sementara kes Paradigm Mall melibatkan seorang pekerja di Padini's Brands Outlet yang rakan sebiliknya baru pulang dari Sabah.

Pusat membeli-belah yang turut terjejas ialah The Linc KL, Suria KLCC, NU Sentral dan KL Gateway Mall di Kuala Lumpur, Sunway Pyramid Mall di Subang Jaya, Selangor dan Aeon Mall di Nilai, Negeri Sembilan.

Pejabat kerajaan

Tempat paling berprofil tinggi adalah Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, setelah Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri menghadiri mesyuarat

Majlis Keselamatan Negara di sana pada 3 Oktober, yang dipenegerusikan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Setelah Zulkifli diuji positif Covid-19, beberapa pemimpin tertinggi kerajaan, termasuk perdana menteri, semalam menjalani kuarantin.

Zulkifli, menteri pertama yang dijangkiti Covid-19, juga mengunjungi beberapa tempat ibadah antara 25 Sept dan 5 Okt, iaitu Masjid Lul Albab di Jerteh, Terengganu,

Surau An-Nur di Bangi, Selangor, Masjid Jamel Sultan Hisamuddin di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor, dan Masjid Dato Kelana Petra di Nilai, Negeri Sembilan.

Sebelum itu, pada 1 Okt, Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka, yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri, juga ditutup setelah wakil rakyat Ayer Limau, Amiruddin Yusof diuji positif Covid-19. Dia pernah berkempen dalam pilihan raya Sabah.

Jangkitan terhadap Amiruddin menyebabkan seluruh kepemimpinan kerajaan negeri, termasuk Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali (di atas), menjalani ujian Covid-19.

Lokasi lain

Beberapa pesakit Covid-19 melalui beberapa lapangan terbang ketika banyak kes Covid-19 disebarkan melalui perjalanan antara negeri.

Antaranya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan, Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau di Sabah, Lapangan Terbang Miri di Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang.

Pusat pengangkutan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) juga terjejas setelah penumpang yang dijangkiti Covid-19 menaiki bas dari KLIA2 ke TBS dan terus ke Kuantan.

Pada 26 September, pihak berkuasa menggesa mereka yang berada dalam bas yang sama untuk tampil melakukan ujian.

Terdapat juga kes Covid-19 dilaporkan di cawangan CIMB di Bandar Baru Permas Jaya, Johor pada 28 September.

Sebelum itu, seorang kakitangan di cawangan UOB Bank Kepong juga diuji positif Covid-19 setelah pulang dari Sabah.

Cawangan Q-Dees di Bukit Raja, Selangor ditutup selama seminggu setelah seorang murid dan ibu bapanya dijangkiti Covid-19, lapor China Press semalam. Bapa kanak-kanak itu dijangkiti daripada rakan sekerja di pejabat mereka di Sri Damansara di Selangor.