Skip to main
Logo Malaysiakini

Media Kelantan jalani saringan Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sekumpulan pengamal media di Kelantan menjalani ujian saringan Covid-19, di sebuah klinik kesihatan di Kota Bharu, hari ini.

Mereka terdiri daripada wartawan, jurugambar dan juruvideo daripada beberapa agensi media yang membuat liputan program Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad pada 25 Sept lalu.

Ujian itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas Zulkifli disahkan positif Covid-19, semalam.

Seorang juruvideo Ahmad Faris Abdul Halim, 33, berkata, atas nasihat pihak berwajib dia secara sukarela hadir menjalani ujian tersebut.

"Ini sebagai langkah berjaga-jaga sebab kami hadir membuat liputan semasa program menteri (Zulkifli) di Kota Bharu, baru-baru ini.

"Sebagai individu yang terdedah secara dekat dengan mereka yang positif, ia agak membimbangkan.

“Jadi kami juga perlu tampil melakukan pemeriksaan," jelasnya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Zulkifli dilaporkan menghadiri pelbagai program melibatkan lokasi di lima negeri termasuk merasmikan Hari Terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) (bawah) di Kota Bharu, sebelum disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) mengambil inisiatif untuk membiayai kos saringan Covid-19 melibatkan ahli-ahlinya.

Timbalan presidennya, Zabidi Ishar berkata, disebabkan mereka ini membuat liputan program menteri berkenaan Kemudi menyarankan supaya ahli terlibat membuat ujian saringan.

"Kami sentiasa mengambil tanggungjawab dalam soal kebajikan dan membantu meringankan beban ahli.

"Ini sumbangan kecil kita kepada ahli dan berharap ujian dilakukan seramai lapan ahli kami berakhir dengan keputusan negatif," katanya.