Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyedia logistik hadapi cabaran hantar vaksin Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dengan jangkaan, penggunaan kali pertama vaksin Covid-19 akan diperkenalkan pada suku terakhir 2020, penyedia logistik dicabar untuk mewujudkan rantaian bekalan perubatan dengan cepat bagi menyampaikan lebih daripada sepuluh bilion dos di seluruh dunia.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata penyelesaian pandemik itu bukan sahaja melibatkan pembangunan vaksin yang selamat dan berkesan tetapi juga pengedaran kepada tangan pihak yang amat memerlukan.

"Sistem pengangkutan udara, darat, kemudahan kargo dan keupayaan rantaian pendinginan akan diuji bagi memastikan vaksin mengekalkan keberkesanan mereka sepanjang transit dan penyimpanan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DHL, dengan kerjasama McKinsey & Company sebagai rakan analisis, telah menerbitkan kertas putih untuk mendapatkan rantaian bekalan yang stabil bagi vaksin dan barangan perubatan semasa Covid-19, dan krisis kesihatan pada masa depan.

Sekarang ini, lebih daripada 250 vaksin merentasi tujuh platform sedang dibangunkan dan diuji, kata DHL.

Dalam kertas itu, DHL menilai bagaimana pengangkutan vaksin yang sangat sensitif suhu ini boleh diuruskan dengan berkesan untuk memerangi penyebaran virus berkenaan.

Menurut DHL, skop bagi menyediakan vaksin untuk liputan global ini adalah sangat besar, ia akan memerlukan 200,000 penghantaran palet dan 15 juta penghantaran dalam kotak penyejukan, serta 15,000 penerbangan diperlukan untuk merentasi pelbagai rantaian bekalan.

Kajian itu menjelaskan, memandangkan vaksin Covid-19 mempunyai fasa pembangunan yang berbeza, keperluan suhu yang ketat (sehingga -80̊C) amat diperlukan bagi vaksin tertentu untuk memastikan keberkesanannya dikekalkan semasa pengangkutan dan pergudang.

Ini menimbulkan cabaran logistik baru kepada rantaian bekalan perubatan sedia ada yang secara konvensional mengedarkan vaksin pada kira-kira 2̊C hingga -8̊C.

Neo berkata usaha memerangi Covid-19 adalah terlalu besar untuk dipikul oleh hanya satu syarikat atau institusi semata-mata.

"Kami telah melihat tahap kerjasama yang unik merangkumi ekosistem awam dan swasta, daripada kerajaan dan pihak berkuasa kawal selia kepada bukan keuntungan dan perniagaan untuk menangani krisis kesihatan global ini.

"Di DHL Express, kami komited terhadap usaha kerjasama ini dan kami akan membuat penghantaran vaksin dan bekalan perubatan ini dengan segera ke mana mereka diperlukan,'' katanya.

- Bernama