Skip to main
Logo Malaysiakini

Wajar tutup sekolah, terutama di Zon Merah - NGO pendidikan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ekoran peningkatan kes baru Covid-19, rata-rata ibu bapa menyuarakan kerisauan terhadap keselamatan anak-anak mereka, Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page).

Pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim berkata ini selepas terdapat kes positif melibatkan guru dan pelajar sekolah.

Kata Noor Azimah, disebabkan itu adalah wajar untuk ibu bapa mengambil langkah untuk merehatkan sementara anak-anak untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, Noor Azimah berkata dalam tempoh tersebut adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan sesi pembelajaran anak-anak terus berlangsung.

“Ya, saya maklum mengenai perkara itu (ibu bapa bimbang dan mula cutikan anak-anak dari bersekolah) dan saya rasa mereka patut bertindak sedemikian.

“Cumanya, bagi saya adalah penting untuk ibu bapa memastikan anak-anak sentiasa berada di rumah selain memantau pembelajaran anak-anak. Ibu bapa mesti membantu anak-anak (belajar),” katanya kepada Malaysiakini.

Noor Azimah berkata demikian mengulas kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah dalam situasi kes Covid-19 semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Noor Azimah berkata jika anak-anak ke sekolah sekalipun agak sukar untuk mereka mematuhi segala standard operasi prosuder (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kata Noor Azimah, ini kerana pelajar sekolah terlalu ramai dan sukar untuk cikgu-cikgu memantau setiap daripada mereka.

“Bagi saya memang susah untuk anak-anak mematuhi SOP di sekolah-sekolah, walaupun cikgu-cikgu cuba pastikan mereka mematuhinya kerana mereka ini terlalu ramai.

“Dan pelajar-pelajar sekolah rendah pun saya dengar bila cikgu buka pelitup muka mereka perlu memakainya. Manakala bila cikgu memakai pelitup muka, pelajar pula boleh membukanya.

“Jadi, memang susah. Sebab kita sendiri pun nak pakai pelitup muka memang rimas kan sebab tak biasa,” katanya.

Ketika diminta mengulas gesaan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan penutupan sekolah buat sementara waktu, Noor Azimah berkata ia perlu dilakukan mengikut keperluan.

“Mungkin (wajar untuk KPM cutikan sekolah dulu). Tetapi, itu pun mungkin untuk daerah atau negeri (yang terlibat dalam Zon merah), tak semestinya semua.

“Kita mesti tengok keadaan, sebab kalau macam dekat Kedah itu kita lihat kawasan yang terkesan adalah dalam penjara dan tidak ada peluang untuk wabak itu merebak di luar kawasan penjara.

“Tapi kita tetap kena tengok kawasan terlibat kes demi kes dan bukan kebenaran menyeluruh.

"Tetapi jika sekolah hendak ditutup sekalipun pastikan pembelajaran terus berlaku, mungkin secara dalam talian atau melalui siaran televisyen,” katanya.

Noor Azimah juga sependapat dengan saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) agar kerajaan memberi kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk membuat pertimbangan seperti menutup sesi persekolahan secara fizikal sekiranya terdapat kes Covid-19 melibatkan murid atau guru.

“Kalau sekolah itu rasa penting untuk sekolah itu ditutup biarkan mereka tentukanlah.

“Biar sekolah yang tentukan, tak perlu tunggu KPM. Sebab kementerian sebenarnya telah bagi autonomi kepada sekolah-sekolah dalam PLT (pelaksana tugas), kenapa tidak dalam perkara ini juga.

“Bagi sekolah tentukan sebab bagi saya situasi ini berbeza antara satu-satu sekolah, daerah ke daerah dan negeri ke negeri,” katanya.

Presiden NUTP Aminuddin Awang (gambar, atas) semalam berkata walaupun arahan penutupan sesebuah sekolah akibat Covid-19 dibuat atas saranan serta nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan namun JPN, PPD dan sekolah itu sendiri lebih maklum situasi sebenar termasuk keseriusan institusi tersebut berdepan ancaman Covid-19.

Sementara itu Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim yang dihubungi Malaysiakini bagi mengulas isu tersebut enggan mengulas lanjut dan hanya meminta untuk menunggu kenyataan dari KPM.

“Maaf, saya tak dapat beri komen saya. Minta awak tunggu kenyataan dari KPM,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan reaksi KPM juga tidak berhasil apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahya juga gagal dihubungi.

Negara menyaksikan kenaikan mendadak kes Covid-19 sejak bulan lalu, dengan keadaan kian memburuk sejak minggu lalu.

Rekod kes harian tertinggi dipecahkan tiga kali dalam masa seminggu, dengan jumlah kes baru semalam merupakan jumlah tertinggi dengan 432 kes.

Pada 2 Oktober, sebanyak 287 kes positif dilaporkan, menjadikannya kes tertinggi sejak 4 Jun.

Keesokannya pula, iaitu pada 3 Oktober, sebanyak 317 kes baru dilaporkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.