Skip to main
Logo Malaysiakini

Wad sementara dibuka tampung peningkatan kes di Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuka sejumlah wad sementara di enam daerah di Sabah bagi menangani peningkatan kes Covid-19 di negeri itu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata wad tersebut dibuka di Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, dan Sandakan bagi menyokong hospital yang telah dikhaskan bagi merawat pesakit wabak itu di daerah tersebut.

Menurutnya, wad tambahan tersebut dibuka di Bangunan Kompleks Sukan Likas (Kota Kinabalu), Bangunan Kompleks Sukan Tawau, Dewan Tun Haji Mustapha (Lahad Datu) dan Dewan Refflesia dan PPR Batu Putih untuk di Sandakan.

Wad tambahan di Tawau pula melibatkan tiga lokasi, iaitu Dewan Arena, Kompleks Penjara dan Bangunan Institut Latihan KKM.

"PPR Bubul Ria juga telah dibuka bagi menempatkan kes-kes COVID-19 di daerah Semporna dan Asrama Sekolah Menengah Agama untuk kes di daerah Kunak.

"Kapasiti katil bagi enam hospital KKM dan sepuluh Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) adalah masing-masing 710 buah katil dan 1,886 buah katil," katanya menerusi siaran langsung hari ini.

Enam hospital itu ialah Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Duchess of Kent Sandakan dan Hospital Keningau.

[Baca berita asal]