Skip to main
Logo Malaysiakini

PM Kyrgyzstan letak jawatan lepas didesak rakyat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Perdana Menteri Kyrgyzstan dan speaker parlimen negara itu meletakkan jawatan masing-masing berikutan tunjuk perasaan besar-besaran yang membantah keputusan pilihan raya parlimen 4 Okt lalu, lapor agensi berita Anadolu hari ini.

Speaker Dastan Jumabekov dan Perdana Menteri Kubatbek Boronov menyerahkan surat peletakan jawatan mereka dalam mesyuarat yang dihadiri anggota parlimen di Bishkek.

Anggota parlimen kemudian bersetuju melantik Sadyr Zhaparov sebagai perdana menteri sementara manakala Miktibek Abdildayev sebagai speaker.

Kyrgyzstan dicengkam demonstrasi besar-besaran yang menyaksikan ribuan orang berkumpul di ibu kota negara itu untuk menuntut pilihan raya baru diadakan.

Pada Isnin penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan menyerbu bangunan parlimen serta bangunan kerajaan yang lain.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan hampir 600 lagi cedera.

Terdahulu pada Selasa, Suruhanjaya Pilihan Raya Kyrgyzstan berkata keputusan pilihan raya tidak sah sejurus selepas Presiden Sooronbay Jeenbekov meminta semua bertenang dan mendesak parti politik memikirkan nasib negara mengatasi cita-cita politik mereka.

- Bernama