Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes lombong emas: Mahkamah Persekutuan dengar rayuan Mkini esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan Malaysiakini terhadap keputusan mahkamah lebih rendah yang memutuskan laporan portal ini berkaitan Raub Australian Gold Mine (RAGM) sebagai fitnah.

Ia akan didengar di hadapan lima panel hakim.

Pada Januari 2018, Mahkamah Rayuan mengarahkan Malaysiakini membayar ganti rugi RM350,000 - RM200,000 dan kos RM150,000 kepada RAGM selepas memutuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf dengan menolak tuntutan itu.

“Keputusan Mahkamah Keputusan akan memberikan kesan besar terhadap kebebasan akhbar di Malaysia dan memberi kesan terhadap cara wartawan bekerja,” kata Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan.

Antara perkara penting yang akan ditentukan Mahkamah Persekutuan, sama ada pembelaan berdasarkan aspek pelaporan boleh diterima di mahkamah.

Walaupun ia diterima di beberapa negara lain, ini kali pertama ia diketengahkan di mahkamah negara ini.

Dalam pembelaan itu, ketika berdepan saman fitnah, biasanya melibatkan organisasi media yang melaporkan dakwaan tidak dibuktikan berkaitan tokoh awam selagi ia tidak berat sebelah dan melibatkan kepentingan awam.

Organisasi media yang menggunakan pembelaan ini berhujah mereka tidak membayangkan kenyataan itu sebagai benar tetapi hanya melaporkan - secara neutral - bahawa kenyataan berpotensi fitnah dibuat, sekalipun mereka meragui ketepatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran berkata apa pun keputusan esok, media bebas itu akan meneruskan misi melaporkan berita dan pandangan kepada pembaca.

“Media telah berkembang pesat. Maklumat kini disalurkan sepantas kilat. Syarikat media harus segera menganalisis fakta daripada maklumat palsu dan melaporkan pandangan yang sah, ketika kebenaran sesuatu perkara sukar ditentukan tetapi mempunyai kepentingan awam.

“Kami harus melaksanakan tugas berlandasarkan undang-undang. Tetapi pada masa yang sama, kami harap undang-undang akan memberikan ruang kepada kami untuk bekerja - berkhidmat dengan baik kepada masyarakat sambil memastikan reputasi individu tidak dicemari oleh kepalsuan.”

Malaysiakini menang di Mahkamah Tinggi

Saman itu dibuat berdasarkan siri laporan Malaysiakini berkaitan kebimbangan penduduk Bukit Koman terhadap kesihatan mereka susulan penggunaan natrium sianida, bahan beracun, dalam pelombongan emas.

Lombong emas itu kini tidak lagi beroperasi.

Pada 23 Mei 2016, Malaysiakini memenangi kes di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi mengarahkan syarikat lombong emas itu membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, pada 11 Januari 2018, Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebaliknya.

Menjelang keputusan Mahkamah Rayuan, Malaysiakini berjaya mengumpulkan RM350,000 dalam tempoh dua minggu daripada penyokong untuk membayar ganti rugi dan kos.

Selepas membenarkan Malaysiakini mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 2018, hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali, yang mengetuai tiga panel hakim, berkata soalan undang-undang dikemukakan kepada Mahkamah Perkutuan patut menumpukan kepada aspek pelaporan dan sama ganti rugi patut dibayar kepada syarikat yang mengalami ketaksolvenan.

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mempertimbangkang sembilan persoalan undang-undang selepas mendengar penghujahan daripada peguam kedua-dua belah pihak.

Malaysiakini diwakili oleh Cyrus Das, James Khong dan Syahredzan Johan, manakala RAGM pula diwakili oleh Cecil Abraham dan Sunil Abraham.

[Baca berita penuh]