Skip to main
Logo Malaysiakini

Elak PRK, beri laluan pada Warisan di Batu Sapi - Lim

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berharap Parti Warisan Sabah (Warisan) diberi laluan mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi tanpa perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK).

Lim berkata, dia menyokong cadangan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo itu memandangkan situasi semasa Covid-19 ketika ini.

Jelas ahli parlimen Iskandar Puteri, ia penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pengundi di kawasan tersebut serta rakyat keseluruhannya terpelihara.

“Mari kita tunjukkan kepada dunia, yang pemimpin politik di Malaysia mampu belajar daripada kesilapan dan menjadi inspirasi serta tauladan baik untuk menggerakkan semua rakyat, tanpa mengira latar belakang parti politik, kepada usaha memenangi wabak Covid-19.

“Ini dengan cara bersetuju memberikan laluan kepada seorang calon daripada Warisan untuk menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

“Bola kini berada di dalam gelanggang Perikatan Nasional (PN) BN, dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya dalam satu kenyataan.

PRK Batu Sapi akan diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas menteri di jabatan perdana menteri iaitu, mendiang Liew Vui Keong.

Esok Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan PRK Batu Sapi.

Terdahulu Andrew mencadangkan supaya ahli politik kedua-dua pihak patut mengetepikan perbezaan antara mereka buat sementara waktu untuk menunjukkan yang mereka peduli dengan peningkatan mendadak kes Covid-19.