Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu benih padi: Pesawah harus diberi pilihan - bekas menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pesawah harus diberi hak membeli biji benih padi dan baja pilihan mereka untuk menggelakkan kekurangan benih padi dan eksploitasi harga, kata bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub.

Menurutnya, industri ini perlu penstrukturan semula keseluruhan rantaian nilai untuk menjamin mutu perkhidmatan dan produk maksimum.

"Saya mengakui isu ini berlanjutan sejak beberapa musim. Ia tidak pernah diselesaikan.

"Jadi, saya berpendapat isu ini perlu dilihat semula keseluruhan rantaian nilai dan satu pendekatan holistik," katanya kepada Malaysiakini.

Dia diminta mengulas masalah kelewatan dan kenaikan harga benih padi yang dihadapi pesawah-peswah daripada Kedah dan Perlis.

Pada 2 Okt, Pertubuhan Persaudaaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menyerahkan memorandum (bawah) kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya susulan dakwaan masalah kelewatan biji benih padi dan eksploitasi harga.

Exco NGO terbabit, Abdul Rashid Yob, 41, berkata, jadual menanam padi telah bermula di Perlis dan Kedah sejak 9 September lalu untuk petani di kawasan fasa 1 namun majoriti tidak dapat memulakan tanaman kerana bekalan benih tiada di pasaran.

Tambahnya, petani juga mengalami masalah kenaikan harga benih yang melampau di sebahagian tempat.

Sementara itu, Salahuddin berkata semasa eranya, penstukturan semula proses pembelian biji benih padi tidak sempat dibuat susulan pertukaran kerajaan sebelum habis penggal.

"Ketika saya menjadi menteri, saya menstruktur semula proses pembelian biji benih padi, tapi tidak sempat dilaksanakan selepas kerajaan PH tumbang," katanya.

Menurutnya, cadangan memperbanyakkan pesaing pembekal biji benih mungkin satu pendekatan sementara tetapi bukan muktamad.

"Kerajaan harus memberikan hak kepada petani untuk memilih benih dan baja yang mereka mahu. Kita perlu memberikan pilihan kepada petani untuk memilih kemahuan mereka.

"Orang kata tindakan ini sebagai game changer (pencetus perubahan) atau piecemeal solution (perkembangan secara beransur)," katanya.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Pulai turut meminta Menteri Pertanian Dr Ronald Kiandee segera mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya harap menteri hari ini mungkin ada pendekatan yang lebih baik.

"Saya harap beliau boleh menstruktur semula pembelian biji benih sementara meninjau semula keseluruhan rantaian nilaian," katanya.

Malaysiakini sejak minggu lalu telah cuba mendapatkan reaksi pihak berkuasa berhubung perkembangan ini.