Skip to main
Logo Malaysiakini

Macau Scam: 730 akaun libatkan RM80 juta dibeku SPRM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 730 akaun bank membabitkan wang berjumlah RM80 juta, serta merampas wang tunai kira-kira RM5 juta kerana disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata selain itu, 23 buah kenderaan mewah turut dirampas hasil pembongkaran sindiket penipuan dan judi dalam talian yang mempunyai kaitan dengan Macau Scam.

Antara kenderaan yang dirampas, katanya, ialah jenama Bentley, Mustang, Lamborghini, Porsche, Ferrari dan lain-lain, serta beberapa motosikal berkuasa besar - semuanya dipercayai dimiliki hasil aktiviti haram.

Selain itu, tambahnya, beberapa pegawai peguat kuasa turut ditahan kerana disyaki memberikan perlindungan terhadap sindiket yang dipercayai telah beroperasi sejak beberapara tahun lalu itu.

“Setakat ini, 11 orang awam rakyat tempatan dan seorang warga China ditahan SPRM dalam siasatan kami yang masih dijalankan.

“Pegawai kerajaan daripada agensi penguatkuasaan (pula) seramai lapan orang setakat ini ditahan dan sedang disiasat kerana disyaki terlibat dan memberi perlindungan kepada pihak Macau Scam ini," katanya dalam temu bual secara langsung di stesen radio MACC.fm hari ini.

Azam juga berkata SPRM berasa curiga kerana sindiket terbabit boleh menjalankan aktiviti mereka secara bebas tanpa diambil tindakan penguatkuasaan sebelum ini.

Kegiatan penipuan Macau Scam banyak dilaporkan media sebelum ini dan melibatkan kerugian jutaan ringgit

Terdahulu juga, media melaporkan golongan artis juga dikaitkan dengan kegiatan Macau Scam ini sama ada sebagai mangsa atau dipergunakan untuk memudahkan pengubahan wang haram melalui usaha sama dan perniagaan sah.

Senarai nama sudah ada

Taktik itu dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM melalui hasil risikan dan siasatan sebelum beberapa individu ditahan.

Disoal mengenai seorang ura-ura lebih ramai selebriti akan dipanggil SPRM Azam berkata dia tidak mahu membuat spekulasi terhadap golongan tertentu, sebaliknya menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat untuk “tampil” membantu

Azam juga memberi jaminan, mereka akan dilayan sebagai saksi dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan identiti mereka juga akan dilindungi.

“Mana-mana pihak yang pernah menerima (wang) dari mereka yang ditahan ini, datang ke SPRM sebelum kami panggil mereka.

“Siapa makan cili dia terasa pedas. Tak payah tunggu kami panggil, datang saja kepada SPRM, kami akan layan mereka dengan baik.

"Beri kerjasama sebab sekarang ni pegawai SPRM memang dah ada nama-nama tu.

"Jangan tunggu kami panggillah, tampil ke hadapan. Bukan saya guna ayat tak baik ‘serah diri’, (tapi) tampil ke hadapan. Itu ayat paling lembut boleh saya gunakan,” katanya lagi.

Tambah Azam, SPRM mendapati terdapat beratus-ratus akaun palsu yang diwujudkan untuk menyalurkan wang yang diperolehi daripada kegiatan haram itu.

“Mungkin oran-orang berniaga ni tak tahu duit ni datang daripada mana, tapi dia bagi dalam bentuk tunai, dan mereka (peniaga) pun menggunakan wang ini untuk menjalankan perniagaan.

“Namun ahli-ahli sindiket ini mereka memegang syarikat-syarikat ini dalam keadaan-keadaan tertentu, contohnya (menjadi) penandatangan cek, dan sebagainya, bagi memastikan wang itu dibayar balik,” katanya lagi.