Skip to main
Logo Malaysiakini

Zafrul: K'jaan terbuka, banyak pilihan tingkat pendapatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah satu daripada banyak pilihan yang ada untuk meningkatkan asas pendapatan kerajaan tetapi waktu pelaksanaannya haruslah tepat.

“Kita meneliti pelbagai pilihan bagi meningkatkan ekonomi tetapi yang paling penting ialah untuk mengembangkan asas pendapatan kerajaan.

“Bagaimanapun, ia perlu dilakukan pada waktu yang tepat kerana kita perlu mempertimbangkan impaknya terhadap rakyat, ekonomi, kos sara hidup dan sebagainya,” kata beliau ketika ditemu bual oleh BFM Radio pagi ini.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk meluaskan dan meningkatkan SST berikutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka meningkat pada 2021 dengan unjuran antara 5.5 peratus dan 8.0 peratus.

Beliau berkata kementerian tidak menolak sebarang kemungkinan atau cara percukaian selagi ia adalah cukai yang adil.

Kerajaan perlu mengoptimumkan kutipan cukai sedia ada, kata Tengku Zafrul sambil menambah terdapat banyak ketirisan yang perlu dikaji semula.

“Kita perlu menyemak skop percukaian dan secekap manakah sistem cukai yang ada sekarang,” kata beliau.

Ditanya mengenai kecekapan kutipan cukai pada masa ini, beliau berkata ia adalah sesuatu yang boleh diperdebatkan.

“Kita juga mempertimbangkan langkah-langkah untuk menguruskan ekonomi bayangan. Tetapi, adalah penting untuk kita ambil maklum balas daripada perniagaan,” tambah beliau.

- Bernama