Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga Klang sibuk beli barang keperluan bagi tempoh PKPB

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Warga Klang dilihat mula melakukan persediaan membeli barangan keperluan bagi menempuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang akan dikuatkuasakan di kawasan berkenaan mulai esok.

Tinjauan Bernama di sekitar Bandar Klang khususnya di sekitar Jalan Tengku Kelana atau Little India mendapati, kedai-kedai yang menjual bahan makanan basah rata-rata dipenuhi oleh pembeli.

Keadaan trafik di sekitar Jalan Tengku Kelana, dan Jalan Datuk Hamzah di Bandar Klang, juga sesak ekoran kereta yang diparkir berdekatan kedai runcit, bagi memudahkan urusan mengangkat barangan jual beli.

Tinjauan turut mendapati kedai-kedai di kawasan berkenaan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), iaitu dengan menjaga jarak fizikal, menyemak suhu sebelum dibenarkan memasuki premis serta mengehadkan jumlah memasuki kedai pada satu-satu masa, namun ada juga kedai yang dilihat seakan 'lalai' dengan SOP yang ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan, hanya mukim Klang yang terlibat dengan pelaksanaan PKPB.

Mukim Klang dan tiga daerah di Sabah, iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran, akan dikenakan PKPB, mulai tengah malam ini.

Setakat 12 tengah hari semalam, Selangor merekodkan 249 kes aktif, termasuk 73 dari mukim Klang.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini juga mengumumkan semua sektor ekonomi di Klang dibenarkan terus beroperasi seperti biasa, dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Pertimbangan sedemikian dibuat kerana Klang adalah pusat aktiviti perindustrian yang besar dan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun lalu.

- Bernama