Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Banduan baru dikuarantin berasingan selama 14 hari

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Penjara mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membendung penularan COVID-19 di penjara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mengikut SOP itu, banduan baharu tidak terus dimasukkan ke dalam penjara sebaliknya dikuarantin di tempat berasingan selama 14 hari.

"Banduan yang bergejala semasa dalam tempoh kuarantin hendaklah dirujuk kepada hospital dan saringan kedua akan dilakukan pada hari ke-13.

"Setelah tamat tempoh kuarantin, banduan yang negatif akan dipindahkan ke Blok Penempatan Kekal pada hari ke-15 dan akan diasingkan selama lima hari daripada bercampur dengan banduan lain," katanya dalam sidang media secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Beliau berkata jabatan itu akan mewujud dan mengaktfikan jawatankuasa urus setia pengurusan krisis COVID-19 bagi memastikan banduan baharu masih dikawal ketat walaupun didapati negatif pandemik tersebut dan selesai menjalani kuarantin.

Antara SOP lain ditetapkan ialah mewujudkan pengoperasian penjara sementara bagi mengelak kesesakan dan pangkalan untuk anggota Kementerian Kesihatan di kawasan berhampiran bagi merawat banduan tidak kritikal di blok penempatan.

Beliau berkata banduan sedia ada dalam penjara tidak dibenarkan keluar kecuali bagi tujuan rawatan dan pengurangan kesesakan manakala pergerakan dalam penjara juga dihadkan kecuali banduan dapur dan banduan kebersihan.

"Lawatan keluarga banduan dibatalkan serta-merta dan pihak penjara juga akan membuat sanitasi di dalam dan luar penjara sebanyak dua kali sehari," katanya.

Ismail Sabri berkata bagi pengiringan atau pemindahan banduan ke mahkamah, SOP penjarakan fizikal dalam kenderaan akan dilaksana dan pemeriksaan kesihatan ke atas pegawai pengiring serta banduan perlu dilakukan untuk mengesahkan mereka layak melakukan perjalanan serta bebas gejala COVID-19.

" … pihak mahkamah juga bersetuju untuk menjalankan perbicaraan berkaitan kes reman secara sidang video," katanya.

Pihak penjara juga akan memastikan alat bantuan keselamatan dan kenderaan yang akan digunakan telah dinyah kuman selain menyediakan peralatan bantuan lain termasuk sarung tangan, pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan sepanjang masa.

Orang ramai boleh merujuk maklumat lanjut di laman sesawang Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

- Bernama