Skip to main
Logo Malaysiakini

Geran perubahan iklim RM13 juta: UK pelawa cadangan projek di M'sia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia mengumumkan geran berjumlah £2.5 juta (kira-kira RM13 juta) di bawah program perubahan iklim dan mempelawa cadangan untuk projek di Malaysia.

Program dikenali 'United Kingdom (UK) Partnership for Accelerated Climate Transitions (UK PACT)' itu adalah sebahagian komitmen kerajaan UK di bawah Kewangan Iklim Antarabangsa untuk menyokong negara-negara rakan dalam mengurangkan perubahan iklim.

"Susulan beberapa siri penglibatan dengan penerima, pakar dan pihak berkepentingan di Malaysia untuk mengenal pasti sektor keutamaan, Suruhanjaya Tinggi mengalu-alukan cadangan untuk tiga projek: Green Finance, Energy and Climate Action Enabling Environment (CAEE).

"Berikutan pandemik Covid-19 dan kesan sosioekonomi di Malaysia, kami juga mengalu-alukan projek-projek inovatif," tambah kenyataan itu.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Charles Hay (gambar, bawah) berkata sebagai tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim PBB COP26 di Glasgow tahun depan "kami ingin memperkukuh kerjasama dengan Malaysia mengenai tindak balas iklim'.

"Ia sebahagian impian UK untuk membangun momentum di seluruh dunia bagi menangani cabaran global akibat perubahan iklim," katanya.

Melalui program UK PACT, ia bertujuan menyokong negara-negara seperti Malaysia untuk mencapai matlamat pertumbuhan hijau, bersih dan berdaya tahan.

Malaysia bakal menikmati manfaat daripada pengalaman dan kepakaran teknikal UK dalam sektor perubahan iklim sambil membina ekonomi lebih mampan menerusi peluang pekerjaan.

Tarikh akhir penyerahan cadangan pada 9 November. Maklumat lanjut boleh didapati di www.ukpact.co.uk/country-programme/malaysia.

- Bernama