Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelaksanaan PKPB di mukim Klang berjalan lancar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

COVID-19 | Polis Selangor akan membantu mempermudah urusan surat kebenaran kepada penduduk mukim Klang yang terlibat dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai tengah malam tadi.

Justeru Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin, berkata penduduk terbabit tidak perlu ke balai untuk mendapatkan surat berkenaan sebaliknya di khemah yang dibuka di kawasan sekatan jalan raya.

“Polis hendak memudahkan masyarakat terbabit dan mereka tidak perlu ke balai polis. Kami akan buatkan khidmat (mengeluarkan surat kebenaran) di sini (khemah berdekatan).

“Kalau pergi balai polis ramai-ramai nanti akan jadi situasi lain,” katanya.

Bernama pula melaporkan orang ramai boleh mendapatkan borang permohonan keluar kawasan itu dengan memuat turun dokumen tersebut dari laman Facebook Polis Daerah Klang Selatan.

Surat kebenaran dikeluarkan polis diperlukan untuk penduduk mukim Klang untuk keluar dari kawasan berkenaan ekoran pelaksanaan PKPB bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Antara penduduk yang terbabit dalam pelaksanaan itu ialah Taman Andalas dan Bukit Tinggi.

Terdahulu Noor Azam meninjau persiapan pihak berkuasa menguatkuasakan PKPB di Pesiaran Pegaga di Bukit Tinggi malam tadi.

Kira-kira jam 11.20 malam Malaysiakini mendapati beberapa bata dan halangan dipasang di jalan sekitar kawasan tersebut.

Selain Persiaran Pegaga, sekatan jalan raya juga dibuat di Jalan Kim Chuan manakala Jalan Batu Unjur 9, jalan masuk berhadapan kedai elektrik Onking Chain-Store Sdn Bhd dan lorong masuk berhadapan Kedai Motosikal Wisfatt di Bukit Tinggi ditutup.

Sekatan jalan raya turut dibuat di persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr Ismail di Taman Sri Andalas manakala jalan berhadapan Masjid Ar Rahimiah, Jalan Sri Siantan, Jalan Sri Siantan 41 dan Jalan Sri Damak 53 akan ditutup. 

Noor Azam berkata penduduk yang berada dalam kawasan pelaksanaan PKPB diharap dapat memberi kerjasama kepada polis bagi memastikan matlamat mengekang penularan wabak berbahaya itu dapat dicapai.

“Setakat ini, kami sudah mula jalankan penutupan jalan dan semua didapati berjalan lancar.

“Cuma saya minta masyarakat bekerjasama dan semua bersatu hati bagi memerangi wabak Covid-19 ini,” katanya lagi.