Skip to main
Logo Malaysiakini

Peningkatan kes tak berkaitan kluster di Sabah membimbangkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah memberi peringatan bahawa jumlah kes baru Covid-19 di Sabah akan terus meningkat dalam masa terdekat.

Ini dengan peningkatan ujian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri itu, yang kini mempunyai jumlah kes aktif tertinggi iaitu 1,943 kes setakat tengah hari semalam.

Sementara peningkatan jumlah ujian saringan akan cenderung membawa kepada jumlah kes yang lebih tinggi, barangkali isu yang paling membimbangkan di Sabah adalah angka kematian dan hakikat bahawa jumlah orang yang memiliki gejala Covid-19 semakin meningkat.

Turut menjadi kebimbangan ialah lebih banyak kes yang dikesan menerusi ujian tidak dapat dihubungkan dengan mana-mana kluster. Ia membayangkan ramainya individu yang telah dijangkiti berada di tengah-tengah masyarakat dan sukar dikesan.

Sejak 15 September, terdapat 18 kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan, dengan 14 daripadanya adalah di Sabah.

Berbeza dengan Kedah - dengan 1,251 kes aktif setakat semalam - yang hanya melaporkan tiga kematian.

Kebanyakan mereka yang positif di Kedah mempunyai kaitan dengan penjara Alor Setar, dengan majoriti yang dijangkiti adalah tahanan, disusuli pegawai penjara dan keluarga mereka.

Semua dalam penjara telah menjalani prosedur ujian pencegahan untuk mengasingkan mereka yang sakit dengan kalangan yang belum dijangkiti.

Lebih ramai jatuh sakit di Sabah

Sebaliknya, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan semakin ramai penduduk di Sabah yang ke pusat kesihatan telah sedia menunjukkan gejala Covid-19.

Sehingga semalam, statistik Kementerian Kesihatan untuk Sabah sangat terperinci, dengan perincian bagaimana setiap kes baru dikesan.

Kategori jangkitan termasuk daripada kluster, saringan prapembedahan, ujian saringan komuniti, pengesanan kontak, pusat tahanan polis dan pemeriksaan kakitangan kesihatan.

Namun, kategori paling utama adalah pengesanan melalui "saringan bergejala", dengan jumlahnya meningkat secara mendadak sejak 21 Sept lalu.

Daripada hanya satu angka pada sepuluh hari yang lalu, jumlah kes baru di kalangan mereka yang mengalami gejala meningkat menjadi tiga angka - peningkatan dua kali ganda sejak enam hari lalu.

Mereka yang mempunyai gejala dianggap lebih mudah menularkan virus kepada orang lain dan mempunyai kemungkinan kematian yang lebih tinggi.

KKM tidak lagi memberikan perincian untuk kes baru di Sabah, iaitu sebanyak 271 kes - jumlah kedua tertinggi di negeri itu setakat ini.

Sebaliknya KKM hanya menyenaraikan kes baru dari kluster dan menyatakan bahawa 252 daripadanya adalah dari "pelbagai saringan lain" (jenis penyaringan lain).

Sekiranya bentuk pelaporan ini diteruskan, rakyat Malaysia khususnya orang Sabah tidak akan dapat mengetahui betapa buruknya penyebaran wabak itu di sana.

Enggan diuji takut hilang pendapatan

Bekas pakar Kementerian Kesihatan Dr Amar Singh percaya bahawa dengan memberi tumpuan kepada bilangan kes yang tidak dihubungkan dengan kluster, ia dapat menunjukkan betapa buruk keadaan di Sabah.

Menganalisis angka-angka ini, Amar berkata penyebaran di kalangan komuniti di sana "sangat membimbangkan".

Dia memberitahu bahawa dengan lebih daripada 90 peratus kes tidak berkaitan dengan kluster, pengesanan kontak akan menjadi sukar dan penularan wabak akan berterusan.

"Sabah memerlukan bantuan dan sumber," katanya di Twitter.

Walaupun KKM menghantar peralatan dan kakitangan dari semenanjung untuk membantu rawatan di Sabah, keadaan sosio ekonomi tempatan turut mendatangkan cabaran, kata kakitangan,

Di Semporna, Dr Mohamad Ashrof Abdullah memberitahu Berita Harian bahawa penduduk tempatan enggan menjalani ujian kerana takut hilang pendapatan harian.

"Majoriti penduduk di sini adalah bekerja sendiri seperti menjadi nelayan dan ada dalam kalangan mereka enggan melakukan ujian saringan kerana bimbang tidak boleh keluar mencari sumber pendapatan (jika dikuarantin)," katanya yang merupakan kakitangan barisan depan dari semenanjung yang dihantar ke sana.

Antara faktor kematian bagi wabak Covid-19 adalah kelewatan dalam mendapatkan rawatan.

Sekiranya keadaan ini berlanjutan, lebih banyak dijangka akan dijangkiti dengan gejala yang begitu teruk sehingga memerlukan rawatan rapi, menambah lagi masalah dalam sistem kesihatan Sabah yang sedia berdepan cabaran.

[Baca berita asal]