Jangan politikkan bantuan Ebit Liew - Penjara Malaysia
Jabatan Penjara Malaysia berharap tidak ada mana-mana pihak mempolitikkan bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh pendakwah bebas, Ebit Liew kepada Penjara Alor Setar dan Pokok Sena bagi tujuan yang boleh memudaratkan maksud asalnya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan beberapa pihak yang membidas Kementerian Dalam Negeri di media sosial berhubung kemampuan kerajaan membantu jabatan tersebut sehingga terpaksa meminta bantuan daripada pihak ketiga.
“Jabatan Penjara mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ustaz Ebit Liew yang tampil membantu dan memberikan sumbangan kepada pihak penjara atas semangat kesukarelaan.
“Jabatan Penjara sentiasa mengalu-alukan kerjasama sebegini bagi meringankan beban kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda institusi penjara.
“Oleh demikian, pihak jabatan berharap agar isu ini tidak dipolitikkan bagi tujuan yang boleh memudaratkan maksud asalnya,” kata jabatan berkenaan.
Ia turut memberi jaminan bahawa pihak pengurusan penjara sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap hal ehwal kebajikan warga jabatan yang berada di bawahnya.
“Pihak jabatan sangat bersyukur dan bernasib baik kerana terdapat pelbagai pihak badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk membantu penjara yang terkesan dengan permasalahan ini,” katanya.
Menurut jabatan penjara, sumbangan dan bantuan itu adalah amalan dan kerjasama biasa dijalin di antara pihak jabatan bersama NGO atau individu persendirian yang sering tampil membantu.
Semalam, Liew memaklumkan di Facebook bahawa dia mendapat surat daripada ibu pejabat Jabatan Penjara Malaysia dan Penjara Pokok Sena yang memohon bantuan buat warga penjara dan mereka yang dikuarantin di situ.
Susulan itu, pendakwa bebas itu mengusahakan sumbangan barang keperluan untuk 200 orang yang dihantar melalui lori.
Ini termasuk 200 tilam; 200 bantal, tuala dan cadar; 10 biji kipas; 2,000 keping penghadang muka (face shiled); dan barangan makanan dan barangan asas.
Liew turut mendoakan keselamatan dan kemudahan urusan buat warga Penjara Pokok Sena dan Penjara Alor Setar, serta penduduk Sabah.
“Kita semua sebuah keluarga.
“[...] Buat warden semua dan petugas negara barisan hadapan di sana terus kuat dan diberi kekuatan. Ini ujian kita bersama,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Penjara Malaysia berkata, sejak dua hari lalu, sebanyak enam pusat tahanan merekodkan kes Covid-19, iaitu Penjara Alor Setar, Pokok Sena, Tawau, Pulau Pinang, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Wanita Kajang.
Lebih 1,200 kes membabitkan tahanan, kakitangan, dan keluarga kakitnagan direkodkan di pusat tahanan.
Sebilangan besar kes di Kedah adalah dari kluster berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai