Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail: PKPD di tujuh mukim Sabah, penjara Pokok Sena

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di enam mukim di Semporna dan satu mukim di Kunak Sabah.

Selain itu, PKPD juga akan dilaksanakan di penjara di Pokok Sena, Kedah serta kuarters kakitangannya selama dua minggu mulai Ahad ini.

Langkah ini melibatkan 3,262 tahanan dan 587 kakitangan penjara.

Sabah sebelum ini telahpun diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata Majlis Keselamatan Negeri Sabah sudah mengeluarkan pesanan nasihat kepada 35,643 penduduk yang diletakkan di bawah PKPD ini.

"Sepanjang tempoh tersebut, sebarang pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan adalah sama seperti di penjara lain yang telah ditetapkan dan pelaksanaan PKPD ini adalah bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan tersebut selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan,” kata beliau dalam sidang media secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini. 

Enam mukim di Semporna itu ialah Kg Bangau-Bangau, Kg Panji, Kg Air, Kg Selamat, Kg Simunul dan Kg Pinggir Bakau.

Di Kunak pula ia melibatkan mukim Kg Pangkalan in Kunak. 

“Sepanjang tempoh ini, penduduk dikehendaki mematuhi SOP ditetapkan termasuk tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing serta semua sekolah, masjid dan rumah ibadat ditutup. Kementerian Kesihatan Malaysia akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat,” katanya.

Ismail Sabri berkata bekalan makanan akan diagihkan kerajaan negeri yang akan dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

Mengenai PKPD di Penjara Tawau dan kuarters Penjara Taman Ehsan di Sabah, tempoh PKPD di kedua-dua kawasan dilanjutkan berkuat kuasa dari 10 hingga 25 Okt berikutan peningkatan kes baru positif Covid-19.

Sebelum ini, pelaksanaan PKPD di kawasan itu pernah dilanjutkan selama dua minggu bermula 26 Sept hingga 9 Okt.

Sementara itu, bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang sebelum ini dilaksanakan bermula 29 Sept dan dijadualkan berakhir pada 12 Okt, Ismail Sabri berkata tempoh tersebut akan dilanjutkan berkuat kuasa dari 13 hingga 26 Okt.

Beliau juga berkata beberapa tindakan baru akan diperkenal di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) berkuat kuasa 11 Okt ini bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

Antaranya ialah pergerakan keluar bot kecil dari pulau di perairan ESSZone ke tanah besar termasuk pergerakan di pesisiran pantai bagi membeli makanan serta barangan keperluan asas hanya dibenarkan mulai 6 pagi hingga 2 petang.

“Bagi bot nelayan dan bot membawa ikan di perairan ESSZone yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan, mereka hanya dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang (di jeti yang dibenarkan sahaja) dan kebenaran ini tertakluk kepada permit yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah berkenaan.

“Bagi semua kapal ‘non conventional ships’ dari Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZone bagi tujuan aktiviti perdagangan tukar barang dan pemunggahan adalah tidak dibenarkan,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.