Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Ada jalan rahsia keluar masuk Kg Kuantan tidak ditutup’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Di sebalik perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini di Kampung Kuantan, Klang dan kawasan sekitarnya, penduduknya dikatakan masih bebas untuk keluar-masuk seperti biasa tanpa perlu melalui sebarang sekatan jalan yang disediakan pihak polis.

Hal ini kerana, Jalan Raksa 4 (bersebelahan surau Haji Salleh) masih dibuka dan tidak diletakkan sebarang palang atau sekatan.

Tinjauan Malaysiakini, mendapati meskipun jalan itu kecil tetapi muat untuk  kereta melalui lorong tersebut.

“Justeru, jika mereka melalui lorong tersebut, penduduk boleh keluar sehingga ke jalan Bukit Raja dan terus ke jalan besar seperti lebuh raya,” kata seorang penduduk yang tidak mahu identitinya disiarkan.

Untuk rekod, sekatan jalan raya telah dibuat di Jalan Bukit Kuda di depan kedai Emy Cookies & Food dan di persimpangan di Lorong Lintang Raksa 2.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh berkata Kampung Kuantan juga akan dikenakan sekatan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Selain di Jalan Bukit Kuda, Nurulhuda juga berkata Lorong Perak, Jalan Raksa 3 (depan kedai Jihas Bakery) dan Jalan Raksa 4 ditutup.

Kampung Kuantan juga menyusuli Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas di Klang Selatan yang dikenakan PKPB bermula jam 12.01 tengah malam tadi.