Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga lagi kluster baru: Atap, Bah Lada, Sahabat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan mengesan tiga kluster baru Covid-19 dalam negara iaitu Kluster Atap di Sabah, Kluster Bah Lada di Perak dan Kluster Sahabat di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Atap di Kota Kinabalu, adalah kes indeks ke-12,880 yang telah menjalani saringan bergejala pada 4 Okt dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tiga lagi kes positif, manakala sembilan individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar harian yang disiarkan melalui Facebook kementerian itu berhubung situasi Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi Kluster Bah Lada di Perak Tengah dan Hilir Perak, Dr Noor Hisham berkata kes itu merupakan kes indeks ke-12,374 dan kes ke-13,978 yang dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi, Sabah pada 3 Okt dan 6 Okt.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti dua lagi kes positif, manakala enam individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengenai Kluster Bah di daerah Marang dan Kuala Nerus, Dr Noor Hisham berkata kes terbabit merupakan kes indeks bagi kluster kes ke-10,766 dan kes ke-10,767 yang juga dikenal pasti hasil saringan dari kawasan berisiko tinggi di Sabah pada 25 Sept.

“Individu berkenaan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang. Hasil saringan kontak rapat telah mengesan lapan lagi kes positif dan 44 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 14 kluster aktif lain yang mempunyai kes positif iaitu 22 kes daripada Kluster Ramai-Ramai, 13 kes daripada Kluster Benteng LD, masing-masing tujuh kes daripada Kluster Tembok dan Kluster Penjara Reman serta lima kes daripada Kluster Tujuh Serangkai.

Beliau berkata ia juga termasuk masing-masing empat kes daripada Kluster Laut dan Kluster Bah Sintok, dua kes daripada Kluster Selasih dan dua kes daripada Kluster Tanamera serta masing-masing satu kes daripada Kluster Bangau-Bangau, Kluster Jalan Meru, Kluster Pulau, Kluster Benteng PK dan Kluster Bah Puchong.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.