Skip to main
Logo Malaysiakini

Jais: Jemaah solat Jumaat masjid di Subang 2 Okt digesa buat ujian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyeru kepada para jemaah yang telah hadir solat Jumaat pada 2 Oktober 2020 di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang untuk tampil dan segera melakukan saringan di klinik kesihatan yang berhampiran sekiranya mereka bergejala atau melakukan kuarantin kendiri di rumah.

"Situasi ini juga akan dibincangkan dengan terperinci di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penilaian Dan Pengawasan SOP Masjid dan Surau yang akan dipengerusikan oleh pengarah Jais untuk keputusan selanjutnya mengenai kedudukan masjid ini dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, pihak Jais hanya membenarkan tiga orang petugas dari kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa untuk mengumandangkan azan dan melaksanakan solat fardhu.

"Kerja-kerja pembersihan dan sanitasi telah dilaksanakan oleh pihak pentadbir masjid pada 9 Oktober 2020," kata Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad pada satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, bilangan jemaah yang hadir Solat Fardhu Jumaat pada hari tersebut adalah seramai 1,310 orang jemaah.

Jais juga berkata telah menangguhkan solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan aktiviti pengimarahan di masjid berkenaan bermula waktu Asar, 8 Oktober 2020 sehingga diberitahu kelak. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.