Skip to main
Logo Malaysiakini

Pejabat Adun Bukit Gasing lakukan inisiatif buat ujian Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pejabat Adun Bukit Gasing melakukan ujian saringan Covid-19 secara persampelan (sampling) di satu blok di Pangsapuri Damansari Bistari Petaling Jaya pada 7 Okt lalu.

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata, hal itu dilakukan selepas terdapat salah seorang penduduk kawasan tersebut disahkkan positif wabak terbabit pada hari sebelumnya.

Jelas Rajiv, pihaknya telah bekerjasama dengan makmal swasta bagi melakukan ujian terbabit dan kos ditanggung oleh pejabatnya.

“Perkara itu dilakukan selepas mendapat laporan terdapat penduduk dijangkiti Covid-19 di salah satu blok pangsapuri itu,

“Sejumlah 116 ujian persampelan (sampling) Covid-19 telah dilakukan di blok yang terkesan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.

Tambahnya, ujian persampelan itu dilakukan ke atas seorang penduduk dalam setiap isi rumah dan keputusan yang diterima pada 8 Okt lalu menunjukkan semua yang disaring negatif wabak itu.

“Kita saring satu penduduk dalam setiap rumah kerana kalau seorang positif semua akan dijangkiti.

“Syukur, lepas dapat keputusan 8 Okt, semua yang kita uji negatif dan tidak dijangkiti Covid-19,” katanya lagi.

Semalam, negara merekodkan 354 kes baru Covid-19, yang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 14,722 kes.

Sementara itu, Rajiv berkata dia melakukan inisitif sendiri selepas pihak kementerian kesihatan (KKM) tidak melakukan saringan kepada penduduk berkenaan.

“Selepas kes dah disahkan pada 6 Okt, saya hubungi pejabat kesihatan daerah Petaling Jaya untuk info lanjut dan mengetahui sebab mengapa tiada ujian saringan dilakukan ke atas penduduk.

“Tetapi KKM beritahu saya, ujian dilakukan jika ada kontak rapat dan mereka mendapati tiada (kontak) di kawasan itu kerana pesakit tinggal sendirian dan dijangkiti wabak tersebut ketika bekerja.

“Penduduk di pangsapuri masih risau kerana keadaan tempat yang agak padat jadi kami buat inisiatif, lakukan ujian persampelan itu sendiri,” katanya.