Skip to main
Logo Malaysiakini

1 Utama diarah tutup lepas pekerja, pengunjung positif Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

  • KEMASKINI 4.04PM | Kenyataan oleh pihak pengurusan 1 Utama.

Kerajaan Selangor mengarahkan pusat beli-belah 1 Utama ditutup sementara bermula esok (11 Oktober) setelah empat kes positif Covid-19 dikesan di sana.

Perkara itu diumumkan Pegawai Daerah Petaling merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar dalam satu kenyataan hari ini.

Kes positif pertama di pusat membeli belah itu dilaporkan pada 5 Oktober, melibatkan seorang pekerja Mac City Service Centre, manakala kes kedua pada 8 Oktober melibatkan seorang pekerja Parkson Elite.

Menurut Johary, dua lagi kes telah dilaporkan melibatkan pekerja dan pengunjung.

Pihak pengurusan 1 Utama dalam kenyataan menggesa pekerja dan pengunjung yang berada di bahagian kosmetik Parkson Elite (di aras G) serta Mac City Service Centre (di aras 2) dari 25 September hingga 7 Oktober untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Setakat ini, ia berkata semua pekerja Mac City Service Centre telah disahkan negatif, begitu juga dengan kontak rapat pekerja Parkson Elite.

"KKM telah mengesahkan sebilangan kecil kes di 1 Utama tidak berhubung atau tersebar oleh satu sumber, dengan individu yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala ketika bekerja di premis penyewa kami," katanya.

Pada masa sama, pihak pengurusan mengesahkan kompleks membeli belah itu hanya akan dibuka semula setelah semua pekerja 1 Utama dan penyewa menjalani ujian saringan.

Selain itu, Johary juga memaklumkan penutupan Tropicana Golf Club & Country Resort di Petaling Jaya selepas lima pekerja di sana positif Covid-19.

"Penutupan bermula pada 11 Oktober bagi tujuan membuat saringan untuk semua kontak rapat dan melakukan proses nyahkuman," katanya lagi.