Skip to main
Logo Malaysiakini

Kakitangan, penyewa 1Utama buat ujian Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sekumpulan besar kakitangan dan penyewa berkumpul di pusat beli belah 1Utama apabila pihak pengurusan menawarkan ujian saringan Covid-19 percuma buat mereka untuk hari ini dan esok.

1Utama itu ditutup selepas dua pekerjanya - seorang di Mac City Service Centre dan seorang lagi di Parkson Elite- disahkan positif pada 5 Oktober dan 8 Oktober lalu.

Pegawai Daerah Petaling Johari Anuar, yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana Petaling, mendedahkan terdapat dua lagi kes melibatkan seorang pekerja dan seorang pelanggan.

1Utama menanggung semua kos ujian tersebut.

“Pengurusan 1Utama telah mula menyediakan ujian persendirian secara percuma kepada kakitangan kami dan kakitangan penyewa pusat beli belah kami, hari ini Ahad 11 Oktober dan esok 12 Oktober dengan kosnya ditanggung 1Utama.

“Kami telah mengerahkan pasukan di lapangan semalam 10 Oktober bagi menguruskan pendaftaran penyewa.

“Bukanlah mudah bagi kami untuk tutup pusat beli belah kami dalam satu malam dan mengerahkan ribuan kakitangan untuk melakukan ujian dengan cuaca buruk pagi ini, tapi kami bertahan sehabis daya kami untuk menjalankan hal tersebut dengan lancar,” kata 1Utama di Facebook.

Pengurusan 1Utama berkata, mereka memutuskan untuk menawarkan ujian percuma itu selepas menerima makluman perkembangan terkini daripada Kementerian Kesihatan bahawa talian mereka dihubungi bertalu-talu berkaitan kes Covid-19 dari seluruh negara.

“KKM telah memulakan pengesanan kontak dan bekerjasama dengan pasukan MySejahtera untuk menghubungi dan menghantar teks pesanan ringkas (SMS) kepada mereka yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang disahkan positif, agar menghadiri ujian saringan di 1Utama pada 14 dan 15 Oktober ini.

“(UJian itu) diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya,” tambahnya.

1Utama meminta pelanggannya untuk mengambil maklum bahawa proses pengesanan kontak masih sedang berjalan.

“Untuk mereka yang tidak menerima panggilan/ SMS tetapi rasa bimbang, nasihat KKM ialah mereka (boleh) membuat ujian di makmal swasta,” tambahnya. 

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.