Mid Valley Megamall rekod kes kedua Covid-19, babitkan penyewa
Mid Valley Megamall merekodkan kes kedua Covid-19 selepas penyewanya, kedai Machines mengesahkan pekerjanya di cawangan kompleks beli-belah itu diuji positif wabak berkenaan.
"Kami ingin mengesahkan seorang pekerja di outlet Mid Valley kami mendapat keputusan ujian Covid-19 positif pada 12 Oktober," kata Machines dalam satu kenyataan di Facebook.
Kedai elektronik itu berkata pekerja berkenaan tidak bekerja sejak 8 Oktober.
"Pada 10 Oktober, dia memberitahu kami mengenai kes positif Covid-19 di rumah pangsa tempat dia tinggal.
"Tindakan segera dibuat untuk ujian dan kuarantin dirinya," kata kenyataan itu.
Machines berkata syarikat itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti kontak rapat pekerja bagi tujuan ujian dan kuarantin.
"Kami akan melakukan ujian pencegahan yang lebih luas demi kepentingan keselamatan pekerja dan pelanggan kami.
"Outlet Mid Valley kami ditutup untuk pembasmian kuman dan pembersihan sehingga diberitahu kelak," katanya.
Semalam, Mid Valley Megamall, dalam pernyataan bersama dengan The Gardens Mall, juga mengesahkan kes Covid-19 berasingan yang melibatkan kedai outlet milik London Sales Cosmetics Sdn Bhd (LSC).
LSC mengendalikan tiga oulet dengan nama yang berbeza di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall.
Kedai berkenaan ialah Origani dan Élévatione Time Stops di The Gardens Mall dan Surreal by Élévatione Time Stops di Mid Valley Megamall.
"Pekerja itu memberitahu pihak pengurusannya di LSC pada 9 Oktober bahawa salah seorang ahli keluarganya terkena virus itu.
"Dia segera mengasingkan diri melalui kuarantin kendiri dan pengurusan mengaturkan untuknya mengambil ujian Covid-19 yang disahkan positif pada 10 Oktober.
"Pembersihan dan pembasmian kuman di ketiga-tiga kedai di bawah LSC serta semua kawasan umum di seluruh dua pusat membeli-belah itu sedang berlangsung," kata mereka.
Setakat kini, kedua-dua pekerja yang bekerja di Mid Valley Megamall nampaknya dijangkiti virus tersebut dari luar tempat kerja. Belum ada bukti yang menunjukkan terdapat penularan di dalam pusat beli-belah itu.
Dalam perkembangan lain, satu kes Covid-19 juga dilaporkan di Aeon Mall di Bukit Tinggi, Klang.
Menurut Sin Chew Daily, gimnasium Fitness First Platinum di pusat beli-belah itu telah mengeluarkan notis pemberitahuan bahawa salah seorang ahli mereka telah positif Covid-19.
Gymnasium itu kini ditutup sehingga diberitahu kelak.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai