Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan prosiding hina mahkamah terhadap Lokman 14 Dis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 Dis untuk mendengar merit permohonan menghina mahkamah oleh Peguam Negara terhadap bekas ahli majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

Hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini menetapkan tarikh pendengaran di Mahkamah Tinggi, sementara menunggu keputusan rayuan Lokman di Mahkamah Persekutuan pada 26 Nov.

Lokman mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Mei yang menolak rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kebenaran kepada peguam negara untuk memulakan prosiding perbicaraan terhadapnya.

Prosiding menghina mahkamah itu berhubung tuduhan melakukan ugutan terhadap Amhari Efendi Nazaruddin, saksi utama dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Amhari Efendi pernah menjadi pegawai khas kepada bekas perdana menteri itu.

Semasa menyebut permohonan penghinaan di hadapan Sequerah petang ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Mustaffa P Kunyalam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa rayuan Lokman akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 26 Nov.

DPP kemudian memohon agar permohonan menghina mahkamah terhadap Lokman ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi.

Sequerah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada 14 Dis, bergantung kepada keputusan rayuan Lokman di mahkamah persekutuan pada 26 Nov.

Peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed hadir mewakili Lokman di Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Jan lalu, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh AG untuk meneruskan permohonan penghinaan terhadapnya (Lokman).

Pada 22 Okt tahun lalu, Sequerah membenarkan bekas Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas, untuk memulakan prosiding perbicaraan terhadap Lokman atas tuduhan menghina yang dikatakan dilakukan sebanyak dua kali pada 25 Sept tahun lalu.

Salah satu tindakan yang didakwa menghina mahkamah dilakukan pada 25 Sept tahun lalu, di mana Lokman dalam satu wawancara video, didakwa melakukan ugutan terhadap Amhari Efendi.

Lokman turut membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi pada hari yang sama.