19 ahli parlimen positif, kes di Indonesia kini 336,716
GLOBAL | Sembilan belas ahli parlimen Indonesia disahkan positif Covid-19, ketika republik itu hari ini mencatatkan 3,492 kes positif baru dalam tempoh 24 jam.
Menurut Sekretaris General Dewan Perwakilan Rakyat Indra Iskandar, seramai 42 lagi petugas di parlimen atau Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu turut dijangkiti virus berkenaan.
Bercakap kepada media tempatan hari ini, Indra melahirkan kekhuatiran akan bertambahnya lagi ahli Parlimen yang positif virus berkenaan.
Kali terakhir DPR Indonesia yang dianggotai 575 ahli Parlimen itu bersidang ialah pada 5 Okt lepas ketika meluluskan Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang turut menyebabkan berlakunya demonstrasi bantahan kepada kelulusan undang-undang itu dan rusuhan di kota Jakarta dan beberapa kota lain pada 8 Okt lepas.
Pada Jumaat lepas, seorang ahli Parlimen dari Parti Gerindra, Soepriyatno meninggal dunia akibat virus berkenaan.
Berdasarkan data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman Twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 336,716 kes, manakala jumlah kematian keseluruhan sebanyak 11,935 orang.
Provinsi Jakarta masih mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi di republik berkenaan iaitu 88,174 iaitu tambahan 1,211 kes positif baru dalam tempoh 24 jam.
Namun, provinsi Jakarta dibenar kembali laksana fasa transisi (pemulihan) Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu mulai hari ini, yang antaranya membenarkan kembali beberapa aktiviti sosioekonomi.
Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam satu kenyataan menyatakan PSBB akan kembali dikuatkuasakan sekiranya kes positif harian kembali meningkat mendadak, terutamanya kebimbangan terhadap berlakunya kluster baru berkaitan demonstrasi di ibu kota Jakarta baru-baru ini.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai