Adun Selangor persoal tindakan MKN laksana PKPB
Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor tampil menyanggah keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai tengah malam ini.
Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, pengisytiharan yang dibuat oleh MKN itutidak profesional.
Katanya, sebagai Adun Selangor, tindakan itu amat mengecewakan kerana tidak diberi pencerahan lebih awal berhubung perkara tersebut.
"Sejak mulanya pengumuman sehinggalah lewat malam, para penduduk tidak berhenti bertanyakan pada saya dan rakan Adun yang lain tentang garis panduan PKPB di Selangor.
“Terdapat juga di antara mereka yang menyoalkan keperluan PKPB di seluruh kawasan Selangor (termasuk zon hijau).
"Semua persoalan ini boleh dijawab sekiranya kami, Adun yang diamanahkan untuk menjaga warga Selangor diberikan pencerahan. Namun begitu, bukan sahaja saya tidak mendapat akses kepada sebarang maklumat terperinci, Datuk Menteri Besar kami, turut terkejut dengan pengumuman yang tidak melibatkan pengetahuan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam sidang khas MKN memutuskan PKPB dikenakan semula ke atas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakub, PKPB itu terpaksa dilaksanakan susulan nasihat KKM dan mengambil kira peningkatan dan penularan kes, seperti di Klang di Petaling dan Gombak serta daerah-daerah lain.
Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, kejadian seperti ini bukan kali pertama di negeri Selangor sebalik situasi sama berlaku sebelum ini.
Jelasnya, kejadian hampir sama berlaku ketika tempoh permulaan PKP pada bulan Mac lalu.
"Masihkah anda ingat kejadian hampir sama berlaku ketika tempoh permulaan PKP pada bulan Mac lalu? Lima negeri bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (termasuk Selangor) tidak dijemput ke mesyuarat khas mengenai Covid-19 tanpa sebarang sebab (bukan setakat tiada sebab munasabah, tiada sebab langsung).
"Pada masa itu, Selangor merupakan antara negeri yang mengalami jumlah kes Covid-19 yang tertinggi berbanding dengan negeri lain.
"Sama juga keadaannya ketika PKPB Klang diisytiharkan beberapa hari yang lalu. Pengumuman juga dilakukan tanpa sebarang perundingan bersama kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu. Kami tidak dimaklumkan apa-apa butiran mengenai kawasan-kawasan yang terjejas," katanya.
Menurutnya, dia dan rakan-rakan yang menjaga kawasan Klang sering terkeliru, kerana pihak kementerian tidak memberi maklumat yang jelas dan seolah-olah tidak faham akan perbezaan antara Daerah Klang atau Majlis Perbandaran Klang.
Tegasnya, masalah ini berlaku apabila kementerian tidak mahu berkomunikasi dengan Kerajaan Negeri.
"Kini, pengumuman PKPB di Selangor sekali lagi dijalankan tanpa sebarang konsensus kerajaan Negeri. Saya menyokong 100 peratus sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk mengurangkan kes bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia, terutamanya untuk petugas barisan hadapan yang bekerja bertungkus-lumus demi menjaga kita.
"Namun ini tidak bermaksud kita boleh menyokong buta-tuli mana-mana arahan tanpa sebarang logik dan akal. Sebagai sebuah Kerajaan, kita bukan sahaja perlu menyelesaikan masalah, malah masalah perlu diselesaikan dengan cara yang berkesan, efisien, pantas dan paling penting, berprofesional. Ciri-ciri ini langsung tidak dipamerkan oleh kerajaan PN," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai