Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin Covid-19: Peserta jatuh sakit, syarikat ubat tangguh ujian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Johnson & Johnson pada Isnin berkata ujian klinikal vaksin Covid-19 ditangguhkan sementara apabila seorang peserta dilaporkan sakit, lapor agensi berita Xinhua.

"Kami menghentikan sementara dos seterusnya dalam semua ujian klinikal vaksin percubaan Covid-19 termasuk percubaan fasa tiga," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Keadaan pesakit sedang dikaji dan dinilai oleh Lembaga Pemantau Keselamatan Data, katanya.

Terdapat garis panduan yang ditetapkan untuk semua kajian klinikal, kata syarikat itu.

"Ini bagi memastikan kajian dihentikan jika berlaku kejadian tidak dijangka (SAE), mungkin berkaitan dengan vaksin atau ubat yang dikaji, penelitian terperinci akan dibuat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada ujian klinikal akan dimulakan semula."

Memandangkan banyak percubaan dikawal oleh plasebo, tidak jelas sama ada peserta menerima rawatan kajian atau plasebo, menurut syarikat itu.

Percubaan klinikal fasa tiga vaksin Covid-19 Johnson & Johnson bermula pada 23 September.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.