Tumpahan minyak dikesan dari Tanjung Tuan ke Teluk Kemang
Pencemaran laut disebabkan tumpahan minyak dikesan berlaku lebih kurang tiga batu nautika di perairan Tanjung Tuan di Alor Gajah hingga ke Teluk Kemang, Negeri Sembilan, semalam, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan.
Pengarahnya, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kejadian itu dikesan bot peronda Maritim ketika sedang melaksanakan rondaan di perairan Tanjung Tuan kira-kira 11 pagi semalam.
"Kesan tumpahan minyak dikesan di perairan Tanjung Tuan lebih kurang 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi dan siasatan awal mendapati pencemaran turut berlaku sehingga perairan Teluk Kemang.
"Bagaimanapun hasil pemantauan dan rondaan anggota Maritim di sekitar lokasi kejadian, tidak kelihatan kapal sedang melakukan kerja-kerja pembuangan minyak ke laut berkenaan," katanya dalam kenyataan di Alor Gajah, hari ini.
Beliau berkata kejadian itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, JAS Negeri Sembilan dan Balai Bomba Teluk Kemang, selain sampel tumpahan minyak diambil serta kerja-kerja pembersihan di perairan tersebut telah dilakukan.
Mengulas lanjut, Haris Fadzillah berkata pihaknya masih belum dapat mengesahkan kapal atau pihak yang terlibat melakukan pencemaran itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sementara itu, beliau berkata operasi pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras serta menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Katanya orang ramai boleh menyalurkan sebarang aktiviti jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 atau 999 yang beroperasi 24 jam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai