Skip to main
Logo Malaysiakini

19 anggota IPD Cheras positif Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 19 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras disahkan positif Covid-19, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Saiful Azly Kamaruddin.

Saiful berkata daripada sejumlah 20 anggota polis yang telah menjalani ujian saringan, seramai sembilan daripada mereka didapati negatif manakala 11 yang lain masih menunggu keputusan.

"Setakat ini 19 didapati positif," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Saiful berkata demikian ketika ditanya mengenai mesej yang tular sejak pagi tadi yang menyatakan IPD berkenaan terjejas akibat Covid-19.

Bagaimanapun, Saiful berkata IPD itu masih beroperasi seperti biasa.

"IPD juga dibuka kepada orang ramai dan kerja-kerja pembersihan telah di lakukan dalam bangunan IPD.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Cheras yang telah membantu ketua polis Cheras dalam melakukan saringan dan pembersihan di sana," katanya.

Difahamkan, kes terbaru itu dikesan selepas Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan berikutan seorang anggota polis di IPD berkenaan disahkan positif sebelum ini.

Sementara itu seorang pegawai dari Pejabat Kesihatan Cheras yang dihubungi Malaysiakini berkata, kerja-kerja sanitasi telah dilakukan di bangunan IPD tersebut.

Katanya, IPD Cheras juga dibuka kepada orang ramai tetapi mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.