Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ribuan hilang kerja jika projek KVD2 ditamatkan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penamatan projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) akan memberi kesan buruk kepada kakitangan Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd dan pekerja kontrak bagi projek berkenaan, kata satu sumber syarikat.

Sumber berkenaan meminta Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menimbangkan semula penamatan tersebut kerana menjejaskan sebilangan besar rakyat Malaysia.

Selain itu beliau memberitahu Malaysiakini bahawa penamatan kontrak berkenaan akan mengakibatkan ribuan kehilangan pekerjaan.

"Syarikat terpaksa menghentikan perkhidmatan jurutera, pekerja mahir dan profesional, termasuk veteran tentera dan lain-lain - seramai 1000 orang yang semuanya adalah rakyat Malaysia.

"Selain itu Dhaya Maju terpaksa menamatkan kontrak lebih dari 200 vendor tempatan dan sub-kontraktor," kata sumber itu, sambil mengingatkan kerajaan bahawa kadar pengangguran semakin meningkat akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.

Sumber itu berkata vendor tempatan adalah antara 7,000 tenaga kerja yang kehidupan mereka akan terjejas.

"Selain itu, jika projek ini ditutup, LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera) akan kehilangan salah satu sumber pendapatan dividen tahunan untuk anggota tentera Malaysia," kata sumber berkenaan.

Projek ini dihentikan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Feb lalu walaupun syarikat itu telah menyiapkan 24 peratus projek tersebut dan kerajaan telah membuat pembayaran progresif lebih RM93 juta.

 Difahamkan kabinet akan membincangkan isu itu esok.

Pada Ogos lalu, Wee dilapor berkata kerajaan akan membuka semula tender projek KVDT2.

Wee berkata, ini kerana siasatan mendapati projek bernilai RM4.475 bilion itu masih terlalu mahal walaupun langkah pemotongan kos dilakukan oleh kerajaan PH di bawah menterinya ketika itu, Anthony Loke.

Dhaya Maju pada 7 September telah memfailkan saman untuk menghalang kerajaan Perikatan Nasional (PN) menamatkan kontraknya bagi projek KVDT2.

Ketua pegawai eksekutifnya, Mohamed Razeek Hussain dilaporkan berkata pada masa itu bahawa syarikat berkenaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek dan oleh sebab itu dianugerakan kontrak tersebut sebanyak dua kali.

Kali pertama ia dianugerahkan ketika pentadbiran kerajaan BN pada 2018 dan oleh kerajaan PH setahun selepas itu.

Pada 18 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan syarikat berkenaan untuk mendapatkan injunksi sementara terhadap kerajaan PN dan Wee, yang merupakan defendan pertama dan kedua dalam saman mereka.

Pada hari itu (18 Sept), dilaporkan bahawa Dhaya Maju akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Pada 24 September, kerajaan mengeluarkan surat penamatan kontrak bagi projek berkenaan.

Projek ini mendapat perhatian selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan 101 kontrak yang dikatakan dibuat melalui proses rundingan terus di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

[Baca berita asal]