Sesi mengadap Agong ditangguh kerana sekatan Covid-19
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memutuskan untuk menangguhkan pertemuan, termasuk dengan pemimpin politik, untuk dua minggu susulan sekatan berkaitan Covid-19.
Menurut Reuters, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata penangguhan disebabkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur.
Dua berkata, tarikh pertemuan baru akan diputuskan selepas PKPB tamat, kira-kira dua minggu lagi.
Para pemimpin politik dijadual mengadap Sultan Abdullah susulan pertemuan dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam. Anwar dilaporkan mempersembahkan dokumen untuk membuktikan dia memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Dalam sidang media selepas itu, Anwar mendakwa dia memiliki sokongan lebih 120 ahli Parlimen dan menegaskan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah tamat.
Dia juga meminta semua pihak memberi ruang kepada Sultan Abdullah untuk menyelesaikan perkara itu.
Istana Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar tidak memberikan senarai nama anggota Parlimen yang menyokongnya ketika pertemuan selama 25 minit itu.
Pada hari sama, pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengadap Sultan Abdullah. Ia mencetuskan desas-desus tetapi tiada perincian tentang pertemuan itu setakat ini.
Bagaimanapun, pemerhati politik yakin ia juga berkaitan dengan kemelut politik yang sedang berlaku.
Di sebelah malam pula, Umno memaklumkan sedang menimbang untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional - yang hanya memiliki majoriti dua kerusi.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan sesi mengadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu telah ditangguhkan.
Lim pada mulanya dijadual mengadap hari ini manakala Mohamad pada 21 Oktober ini.
Ini merupakan krisis politik kedua yang berlaku selepas pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2019.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai