Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib: Biro Politik Umno tak sentuh sokong Anwar jadi PM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata Biro Politik Umno yang bermesyuarat semalam telah memutuskan "untuk mempertimbangkan semula sokongan pada PN, memberi syarat baru kerjasama serta mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai parti politik."

"Keputusan mesyuarat Umno semalam tidak menyentuh tentang sokongan kepada Anwar (Ibrahim) jadi perdana menteri ataupun bekerjasama dengan DAP (namun Guan Eng tentu happy jika dia berpeluang kerjasama dengan saya).

"Memandangkan sentimen akar umbi serta lapisan pemimpin Umno, saya rasa keputusan semalam adalah munasabah dan tidak keterlaluan sebab ianya mampu membuka ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid-19," katanya pada hantaran di media sosial.

Bekas presiden Umno yang berpengaruh luas di dalam parti itu juga menyoal: "Jika PN boleh didaftarkan sebagai parti politik, kenapa pula Muafakat Nasional tidak boleh?"

PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

MN pula merupakan gagasan kerjasama rasmi antara PAS dan Umno sebelum disertai Bersatu pada Ogos lalu.

Najib pada hantaran hari ini turut menyertakan pautan laporan berita pada 29 Sept lalu yang memetiknya berkata, sebagai "orang parti" beliau akan akur keputusan sama ada mahu menyokong usaha Anwar menubuhkan kerajaan baru atau tidak.

"Ini selaras dengan jawapan saya bulan lepas bahawa saya adalah "orang parti" dan akan menyokong penuh keputusan rasmi parti biarpun ada kala saya tak setuju secara peribadi tetapi saya akan bincang melalui saluran dalaman dan tidak akan mengkritik secara terbuka.

"Pendirian saya tiada kena-mengena dengan kes-kes mahkamah saya seperti dimainkan propaganda-propaganda PH dan Tun Mahathir sebab saya tetap percaya saya tidak bersalah.

"Apa yang saya buat selama ini ialah demi rakyat serta parti dan saya boleh jawab pada Allah," katanya lagi.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, malam tadi memaklumkan parti itu memberi syarat baru kepada kerajaan PN untuk meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

"Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong dan akan memberi syarat baru kepada kerajaan bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin," katanya selepas mesyuarat biro politik majlis tertinggi Umno di Kuala Lumpur.

Ini susulan perkembangan semasa politik selepas presiden PKR menghadapYang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, bagi mempersembahkan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya sebagai perdana menteri.

Pada sidang media selepas itu, Anwar berkata dia mendapat sokongan lebih 120 anggota parlimen, namun enggan mengulas lanjut.

Istana Negara dalam kenyataan selepas itu mengesahkan Anwar telah mempersembahkan jumlah ahli parlimen yang didakwa menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong, namun tidak menyenaraikan nama individu yang menyokongnya.

Terdahulu hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng memaklumkan istana menangguhkan sesi mereka mengadap Agong.

Zahid sebelum ini berkata terdapat ramai ahli parlimen Umno yang menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri.