Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPB di kampung di Kedah, lepas lima keluarga positif

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah mulai 18 hingga 31 Okt.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ini selepas 25 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan lima buah keluarga, susulan saringan bersasar terhadap 236 individu yang menjalani perintah kuarantin kendiri.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes positif COVID-19 direkodkan melibatkan lima keluarga dan 100 individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini.

Jelasnya, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan itu, selepas mendengar cadangan daripada MKN negeri Kedah mengenai situasi semasa Covid-19 di kampung berkenaan.

"PKPB ini melibatkan 1,150 penduduk dan 151 rumah di kawasan tersebut," katanya.

Dengan pelaksanaan PKPB di kawasan itu, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, katanya lagi.

Menurut Ismail, antara SOP itu tiada pergerakan keluar masuk ke Kampung Padang Che Mas, hanya dua orang dibenarkan bagi sebuah keluarga untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan serta penutupan sekolah dan pusat pengajian termasuk pondok pengajian.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.