Skip to main
Logo Malaysiakini

Ujian awal sebabkan pesakit dikesan pada fasa 'boleh jangkit'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata, tindakan pantas untuk mengesan kes wabak Covid-19 menyebabkan pesakit dikesan pada fasa awal kebolehjangkitan virus mutasi.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan tahap kebolehjangkitan yang tinggi disebabkan virus mutasi D614G.

Dia berkata demikian setelah ditanya pemberita mengapa sampel pesakit dari gelombang ketiga mempunyai nilai ambang lebih rendah (Ct) ketika diuji berbanding sampel dari dua gelombang wabak sebelum ini di Malaysia.

“Jadi kita lihatkan di negeri Sabah, kita mungkin juga Ct yang kita kesan ialah kerana kita melaksanakan aktiviti saringan dengan cepat. Kalau kita menjalankan dengan cepat, kita mengesan kes-kes pada permulaan dibandingkan dengan gelombang pertama dan kedua nilai ambang dia adalah pada penghujung ataupun hujung jangkitan.

"Jadi apa yang telah kita jalankan ialah pengesanan kes aktif. Kita mengenal pasti kes dengan cepat, jadi nilai ambang dia rendah dan juga kemungkinan jumlah virus pada ketika itu adalah tinggi. Bila jumlah virus tinggi dalam badan seseorang tu, jadi kebolehjangkitan dia lebih tinggi [...]

“Ada lagi faktor yang mungkin sebab mutasi virus itu D614G menjadikan kandungan virus dalam tubuh itu adalah tinggi. Ini menyebabkan virus tersebut mudah dijangkiti,” katanya pada sidang media harian yang berlangsung di rumahnya kerana sedang menjalani kuarantin diri.

Nilai ambang adalah salah satu parameter utama dalam ujian tindak balas Reverse Transcript - Polymerase Chain Reaction” (RT-PCR) dan merupakan satu-satunya ujian yang digunakan untuk diagnosis akhir bagi pesakit Covid-19 yang disyaki di Malaysia.

Ujian RT-PCR lebih sensitif daripada ujian lain kerana melibatkan langkah "amplifikasi", di mana zarah virus dalam sampel digandakan secara buatan.

Langkah ini dilakukan berulang kali sehingga jumlah zarah virus dalam sampel mencapai tahap yang dapat dikesan.

Kitaran bilangan yang diperlukan agar sampel dapat dikesan positif disebut sebagai nilai ambang.

Oleh itu, nilai ambang yang lebih rendah bermaksud lebih sedikit kitaran amplifikasi diperlukan untuk mengesan virus itu sehingga menunjukkan ia terdapat dalam jumlah yang lebih tinggi dalam sampel.

Untuk makluman, nilai ambang juga dipengaruhi oleh variasi peralatan yang digunakan.

Noor Hisham juga menjelaskan bahawa makmal di Malaysia selalunya menjalani 40 kitaran RT-PCR dalam sampel sebelum ke kumpulan sampel lain.

Menurut soalan yang diajukan kepadanya, nilai ambang sampel semasa gelombang pertama dan kedua wabak di Malaysia biasanya antara 23 hingga 30.

Berbanding gelombang ketiga, nilai ambang itu berada antara 16 ke 18.

Untuk rekod, kajian menunjukkan bahawa pesakit Covid-19 paling banyak berjangkit sekitar beberapa hari setelah jangkitan, sebelum gejala muncul.

Virus pesakit juga berada pada tahap tertinggi sebelum gejala muncul, dan menurun selepas pesakit tidak mungkin berjangkit 10 hari selepas gejala muncul walaupun mereka masih sakit atau masih positif pada ujian RT-PCR.

Sementara itu, Noor Hisham berkata 61 makmal seluruh negara telah melakukan 24,952 ujian RT-PCR sejak semalam, daripada kapasiti gabungan berjumlah 54,706 ujian setiap hari.

Ketiga-tiga makmal di Sabah telah beroperasi melebihi kapasiti iaitu sebanyak 3,032 ujian daripada yang ditetapkan sejumlah 2,500 ujian setiap hari.

Pihaknya juga telah menerima 3,296 sampel semalam, beberapa di antaranya akan dikirim ke Semenanjung untuk diuji.

Bagi ujian antigen rapid tests (RTK-Ag), Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan 289,400 ujian telah dijalankan sejak awal wabak itu dimana 2,338 positif.

Katanya, 115,00 kit ujian RTK-Ag telah dibawa ke Sabah, termasuk 75,000 yang dihantar semalam dan 25,000 akan diberikan minggu depan.

“Dengan pertambahan (kit RTK-Ag), kita harap dapat kesan lebih kes di Sabah.

Kit RTK- Ag kurang sensitif dari RT-PCR, tetapi boleh dilakukan lebih cepat dan hanya memerlukan kemudahan asas makmal.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.