Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis telah rekod keterangan mangsa terakhir keracunan monoksida

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis telah merekodkan keterangan satu-satunya mangsa yang selamat dalam kejadian empat sahabat keracunan karbon manoksida dalam kereta, ketika mereka berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dekat sini 16 Sept lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata, pegawai penyiasat kes itu telah mengambil keterangan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, sebaik beliau dibenarkan keluar daripada wad di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada minggu lepas.

“Walaupun kes itu disiasat sebagai kematian mengejut (SDR), polis tetap mengambil keterangan daripada mangsa yang selamat, bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Katanya berdasarkan keterangan Nor Aqilah, ketika berhenti di stesen minyak itu mereka dalam keadaan letih dan lapar dan membeli makanan di situ, sebelum kesemuanya tertidur di dalam kenderaan yang enjinnya masih hidup dengan cermin tertutup rapat.

“Nor Aqilah memaklumkan dia kemudiannya tidak tahu apa lagi yang berlaku dan sedar-sedar dia sudah berada di hospital, sebelum dimaklumkan ahli keluarga yang kembarnya (Nor Adilah) serta dua lagi sahabatnya telah meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri, di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Mereka ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.

- Bernama