Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Letih, politik 24 jam’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas menteri Salleh Said Keruak memberitahu rakyat sudah letih dengan kerenah ahli politik yang asyik berpolitik tetapi mengabaikan nasib rakyat.

“Ada masanya (kita) berpolitik, dan ada masanya kita berkhidmat (untuk rakyat). Rakyat sudah mula sedar yang ahli politik Malaysia ini sering berpolitik 24 jam seminggu dan 365 hari setahun,” sindirnya dalam catatan blognya.

“Dan rakyat juga sudah letih dengan ahli politik yang asyik fokus tentang politik dan tidak berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Salleh yang juga merupakan bekas ketua menteri Sabah berkata, persepsi yang dicerminkan oleh seseorang itu adalah penting tetapi apa yang ditunjukkan oleh ahli politik hari ini adalah sesuatu yang negatif.

“Seorang ahli politik yang bertanggungjawab merupakan mereka yang sentiasa memantau dan mendengar suara rakyat.

“Ahli politik dan aktivis sering kali melaungkan slogan ‘rakyat adalah bos.’ Tetapi, tidak lama selepas mereka mendapat kuasa, mereka lupa siapa yang bos,” katanya.

Katanya, berikutan negara sedang dilanda pandemik Covid-19, norma baru bukan sahaja meliputi menjaga penjarakan sosial dan kuarantin kendiri, tetapi senario politik negara juga memainkan peranan.

Menyentuh mengenai situasi semasa politik negara yang tidak stabil, Salleh berkata rakyat kini melihat ahli politik sebagai mementingkan diri sendiri dan meluat dengan keadaan huru-hara yang tidak berkesudahan.

“Parti-parti (politik) dan ahli politik perlu mencari kata sepakat dengan bekerjasama,” katanya.

Katanya, dalam keadaan yang genting ini, kuasa perlu dikongsi bersama di mana yang kalah dan menang perlu duduk berbincang mengenai apa yang terbaik untuk negara.