Skip to main
Logo Malaysiakini

JKN Sabah, KKM lantik tiga hospital swasta bantu buat ujian Covid-19 tertunggak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik tiga hospital swasta di negeri itu untuk bantu memproses sampel ujian Covid-19 yang tertunggak.

Jurucakap rasmi berkaitan Covid-19 bagi Sabah, Masidi Manjun Masidi berharap dengan penambahan tiga hospital itu, ujian sampel Covid-19 baru dan juga tertunggak dapat diselesaikan segera.

“Pagi tadi semasa mesyuarat dengan majlis keselamatan negara (MKN) negeri Sabah, saya telah dimaklumkan oleh ketua pengarah KKM (Noor Hisham Abdullah) dan saya andaikan hal itu juga telah diumumkan.

“JKN Sabah dan KKM telah lantik tiga hospital swasta untuk bantu proses sampel ujian yang masih tertunggak.

“Insya-Allah pelantikan ini dapat (memastikan) ujian sampel tertunggak dapat beres segera, ujian baru juga beres segera,” katanya menerusi sidang media harian Covid-19 negeri itu di Wisma Innoprise di Kota Kinabalu, Sabah yang disiar secara langsung hari ini.

Hari ini, Sabah terus merekodkan angka tertinggi dengan 643 kes dan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu sebanyak 8,082 kes.

Antara daerah yang mempunyai kes tertinggi adalah di Kota Kinabalu (253) dan Tawau (135).

Sementara itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu, turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri sedang merancang untuk meluaskan bantuan bakul makanan (food basket).

Setakat ini tambah Masidi, sebanyak bakul makanan 57,329 telah diagihkan.

“Kerajaan negeri sedang pertimbang untuk luaskan bantuan makanan ini dalam golongan lain yang memerlukan tetapi laporan akan diumumkan kelak dalam sesi berlainan,” katanya lagi.