Skip to main
Logo Malaysiakini

'Felda belum lagi hubungi FGV mengenai LLA'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan pembetulan daripada Bernama.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masih lagi belum menghubungi FGV Holdings Bhd bagi memulakan rundingan mengenai Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

FGV dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata di bawah terma perjanjian, penamatan LLA itu dibolehkan.

"Sekiranya Felda mengeluarkan notis mengenai perkara ini, FGV akan mengikut prosedur yang digariskan dalam LLA.

"Aset yang terlibat dalam LLA membabitkan estet-estet tetapi tidak termasuk kilang sawit FGV," katanya.

Jika Felda ingin membeli kilang sawit FGV, ia sepatutnya dibuat berdasarkan 'kerelaan pembeli serta penjual" dan mengikut nilai pasaran semasa yang memerlukan kelulusan pemegang saham melalui mesyuarat agung luar biasa.

Peneraju minyak sawit itu juga berkata syarikat berkenaan ingin menawarkan penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Felda, yang menyatakan bahawa sebelum tawaran awam permulaan (IPO) pada 2012, Felda mempunyai keuntungan melebihi RM1 bilion dan selepas kewujudan FGV sebagai syarikat senaraian awam, Felda mengalami kerugian setiap tahun dan jumlah hutangnya meningkat.

"Apabila LLA ditandatangani pada 2011, harga minyak sawit mentah adalah sekitar RM3,000 setan dan unjuran pendapatan Felda (melalui LLA) berpaut pada harga RM2,800 setan.

"Harga MSM memainkan peranan paling penting dalam menentukan keuntungan atau kerugian syarikat. Selepas IPO pada 2012, pembayaran FGV kepada Felda tidak memenuhi unjuran Felda disebabkan oleh penurunan harga MSM," katanya.

Tambahnya, perbelanjaan penanaman semula bagi kawasan 15,000 hektar itu mencecah sehingga RM300 juta setahun dan selain ini, kos pembajaan termasuk pemulihan memakan belanja RM300 juta secara tahunan.

"IPO FGV sering didakwa sebagai punca kegagalan dan kejatuhan Felda. Isu sebenar adalah penggunaan pendapatan daripada IPO, dan bukan IPO itu sendiri. Felda telah memperolehi RM5.7 bilion daripada IPO manakala FGV mendapat RM4.5 bilion.

"FGV tidak boleh mengulas bagaimana Felda menggunakan hasil daripada IPO. Malangnya untuk FGV, sebahagian daripada hasil kutipan ini tidak dilaburkan dengan baik. Sehingga akhir 2018, FGV telah membuat kemerosotan besar berjumlah RM780 juta bagi pelaburan baharu tersebut," katanya.

Sehingga sekarang, tanggungjawab FGV terhadap Felda (menurut LLA) yang berjumlah RM248 juta setahun telah dipenuhi sepenuhnya. FGV telah membayar lebih RM2.5 bilion kepada Felda mulai 2012 hingga 2019.

Sebelum ini, dilaporkan Felda berhasrat untuk menuntut semula kira-kira 350,000 hektar yang telah dipajakkan kepada FGV sebagai cara bagi memulihkan kedudukan kewangannya.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata perkara itu sudah dipersetujui lembaga pengarah dan syarikat itu kini sedang menunggu arahan kerajaan sebelum rundingan boleh dimulakan dengan FGV.

-Bernama