Gangguan air: MP mahu saman pencemar, pihak berkuasa, GLC
Marah dengan kesan gangguan air di kawasan parlimen, MP Wangsa Maju dari PKR, Tan Yee Kew menyeru orang ramai menyertainya untuk memulakan tindakan undang-undang di mahkamah.
"Sekiranya anda merasakan gangguan bekalan air berterusan menyebabkan kesulitan, tekanan, penderitaan dan kehilangan pendapatan, sila bergabung dengan kami untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pencemar serta jabatan, agensi dan GLC kerajaan untuk mendapatkan pampasan," kata Tan dalam hantaran Facebook.
Beliau juga meminta pihak yang berminat untuk bersama-sama memfailkan saman ini untuk menghubungi pejabatnya di talian +60341444342
Tan memberitahu Malaysiakini, walaupun orang ramai telah belajar untuk melalui cabaran gangguan bekalan air ini, namun baginya ia suatu beban yang terpaksa ditanggung rakyat apalagi ketika pendapatan terjejas akibat Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Terdapat banyak kes gangguan air tetapi yang baru terjadi selama empat hari pada bulan September paling parah bagi rakyat. Pusat saya menerima begitu banyak panggilan yang meminta bantuan.
"Yang paling menyentuh saya adalah pesakit ginjal yang memerlukan dialisis. Terdapat pusat swasta di sini yang ditutup selepas keutamaan bekalan air hanya diberikan kepada yang dikendalikan oleh kerajaan sahaja."
Tan berkata, ramai penduduk di kawasannya kini dalam keadaan terdesak.
"Ada seorang pesakit yang datang. Sudah lima tahun menjalani dialisis dan dia benar-benar menyangka dia akan mati. Kami cuba mendapatkan bantuan mendapatkan tangki dari pihak swasta, tetapi semuanya sudah diambil oleh hospital dan agensi kerajaan lain," tambahnya.
Selain itu, kata Tan ramai peniaga gerai makanan dari flat kos rendah yang mengadu pendapatannnya terjejas teruk walaupun ditutup selama satu atau dua hari.
"Orang-orang menjadi sangat marah. Mereka melihat bagaimana sering mengalami gangguan air, tetapi sangat jarang melihat orang didakwa. Saya tahu dalam kes Sungai Gong kita menuduh orang-orang yang dituduh melakukan pencemaran itu, tetapi selalunya kita tidak melihat perubahan dibuat."
Menurut Tan, kes pencemaran di Sungai Gong ini adalah pengecualian dan setelah bertahun-tahun gangguan bekalan air, sudah tiba masanya agensi yang terlibat untuk memikul tanggungjawab.
"Kita mempunyai begitu banyak agensi. Seperti Span dan Luas. Ada Jabatan Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar. Sama ada dari Selangor atau persekutuan, mereka semua harus bertanggungjawab bersama dengan pencemar, kerana sistem yang kita miliki sekarang tidak berfungsi," katanya.
Bulan lalu, empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa di mahkamah berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat Shah Alam antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selanjutnya, Tan memberitahu bahawa pada awalnya dia menyasarkan 500 orang ramai akan menyertainya dalam saman berenaan, tetapi kerana lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini, dia mungkin menurunkan sasarannya itu.
"Kerana PKPB, sesi taklimat dibatalkan dan kami hanya mengadakan pertemuan secara kumpulan kecil berikutan SOP.
"Kami pada awalnya mensasar akhir bulan Oktober tetapi sekarang mungkin kami akan menangguhkan sehingga November. Kami mengharapkan pampasan pengguna atas kehilangan pendapatan dan tekanan. Ini benar-benar sukar bagi rakyat biasa.
"Saya mahukan agensi bertanggungjawab - jangan hanya menuding pencemar dan paip pecah berulang kali," tambahnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, berkata di Facebooknya bahawa gangguan air telah mencapai tahap di mana rakyat yang terjejas telah memutuskan untuk menyelesaikan masalah ini dengan sendiri.
"Rakan saya, Tan Yee Kew (PKR), Ahli Parlimen Wangsa Maju, telah memulakan kempen untuk mengemukakan tuntutan saman terhadap pihak berkuasa. Di Subang Jaya, SJ Echo telah memulakan petisyen atas talian kepada pihak berkuasa. Anda boleh menandatangani petisyen ini di Facebook SJ Echo.
"Mudah-mudahan beberapa komitmen akan dibuat dari semua usaha ini," kata Wong menjelaskan baru-baru ini beliau telah mengemukakan dua soalan di parlimen berkaitan dengan masalah bekalan air kepada menteri yang bertanggung jawab.
Pertanyaan berkenaan adalah sama ada kerajaan berhasrat memberikan pinjaman kewangan untuk membantu Air Selangor meningkatkan kapasiti bekalan airnya, kuantum dan garis masa untuk pinjaman tersebut dan penambahbaikan penguatkuasaan serta apa yang sedang dilakukan kerajaan bagi mencegah pembuangan sisa toksik secara haram ke sungai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai