Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Geopolitik Asean: Indonesia boleh muncul kuasa besar 10 tahun lagi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Indonesia berpotensi untuk muncul sebagai sebuah kuasa besar dari benua Asia. Dalam konteks ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Indonesia menyumbang 35 peratus dari jumlah keseluruhan KDNK negara-negara dalam Asean.

Negara yang terdiri daripada gugusan kepulauan terbesar di dunia ini sedang berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang stabil dan pembangunan yang mampan.

Hal ini menjadikan Indonesia sebagai tumpuan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China untuk dijadikan sekutu penting dalam mengimbangi pengaruh antara satu sama lain.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Indonesia sentiasa mengekalkan hubungan diplomatik yang rapat dengan Amerika Syarikat. Hubungan kedua-dua negara yang terbina sejak tahun 1949 melalui tahap pasang dan surut.

Era pentadbiran John F Keneddy menyaksikan pertambahan kadar bantuan ekonomi kepada Jakarta bagi membantu negara tersebut dalam program pembangunannya.

Walaubagaimanapun, pertukaran kepimpinan Amerika Syarikat kepada Presiden Lyndon B Johnson merekodkan hubungan kedua-dua buah negara menjadi keruh berikutan syak wasangka Washington bahawa Presiden Sukarno (gambar, bawah) mula menjalin hubungan rapat dengan blok Komunis.

Pendekatan Washington terhadap Jakarta menjadi semakin dingin dan diakhiri dengan penglibatan secara langsung Amerika Syarikat dalam menyingkirkan Sukarno di Indonesia pada tahun 1967.

Hubungan Amerika Syarikat-Indonesia beranjak ke suatu paradigma baru bila mana Presiden Suharto mula mengambil alih kepimpinan negara pada tahun 1967. 

Dalam konteks geopolitik era perang dingin, rejim Suharto memainkan peranan besar dalam mengekang kemaraan pengaruh komunisme di rantau Asia Tenggara.

Hal ini dapat dianalisis berdasarkan memo yang ditulis oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert McNamara kepada Presiden Lyndon B Johnson mengenai rancangan penambahan peruntukan Program Bantuan Ketenteraan (Military Assistance Program) kepada Indonesia pada penghujung tahun 1966.

Ketika tercetusnya insiden pengeboman di Bali pada tahun 2002 dan 2005, kerjasama strategik di antara Indonesia dan Amerika Syarikat menjadi semakin erat. 

Hal ini selaras dengan Dasar Luar Amerika Syarikat era Presiden George W Bush dalam memerangi terrorisme (the War on Terrorism). Ketika era pentadbiran Presiden Sukarno, orientasi dasar luar Indonesia ditafsirkan cenderung kepada Beijing. 

Walaubagaimanapun, hubungan kedua-dua negara terganggu berikutan percubaan kudeta yang dilancarkan oleh Parti Komunis Indonesia (PKI). 

Sehubungan itu, hubungan diplomatik Indonesia-China telah digantung pada 30hb Oktober 1967, namun hubungan diplomatik kedua-dua negara kembali terjalin dan berkembang pesat pada lewat dekad 80-an. 

Pada saat ini, China merupakan rakan dagang terbesar Indonesia dengan menyumbang sebanyak 24 peratus jumlah keseluruhan perdagangan antarabangsa negara republik tersebut.

Indonesia dan pensejajaran kuasa do Asia Tenggara

Oleh itu, Amerika Syarikat dan China dilihat berusaha gigih bagi memastikan negara kepulauan terbesar di dunia itu menjadi sekutu mereka dalam rencana pensejajaran geopolitik di rantau Asia Tenggara.

Terdapat beberapa faktor yang membolehkan Indonesia menjadi sebuah kuasa besar di arena antarabangsa.

Faktor seperti ekonomi yang mapan, kestabilan pemerintahan, ketenteraan dan geografi merupakan sebab utama mengapa Indonesia bakal memainkan peranan penting dalam pensejajaran kuasa di rantau Asia Tenggara.

Secara relatifnya, pertumbuhan ekonomi Indonesia konsisten sebanyak 5 peratus dari tahun 2017 sehingga tahun 2020, disaat negara tetangga lain mengalami perkembangan ekonomi yang perlahan dan merudum.

Faktor kestabilan regim pemerintah dan politik Indonesia sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada pelabur untuk melabur di negara tersebut.

Dalam konteks pertahanan, Indonesia merupakan salah sebuah kuasa besar ketenteraan di rantau ini. 

Akhbar Austria, Die Presse melaporkan bahawa Indonesia bercadang untuk memperolehi 15-unit pesawat tempur moden, Eurofighter Typhoon dari kerajaan Austria. Jika cadangan pembelian ini dimeterai, Indonesia bakal muncul sebagai kuasa pertahanan udara yang terulung di rantau Asia Tenggara.

Berbanding dengan negara jiran Asean yang lain, politik Indonesia agak unik bila mana tentera mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan hala tuju politik negara.

Doktrin yang dikenali sebagai ‘Dwi fungsi Militer’ masih merupakan faktor penting dalam politik negara walaupun pengaruhnya tidaklah sebesar ketika zaman Order Baru. Oleh yang demikian, menteri pertahanan merupakan jawatan yang paling berkuasa selepas presiden Indonesia.

Menteri Pertahanan Indonesia, Probowo Subianto (gambar, bawah) merupakan tokoh kontroversi dalam sejarah Indonesia pasca Reformasi. 

Beliau merupakan komander Komando Pasukan Khusus (Kopassus) yang dituduh terlibat dalam aksi pembantaian dan penculikan aktivis hak asasi manusia dan mahasiswa pada tahun 1998.

Akibatnya, nama beliau telah disenarai hitam dari memasuki Amerika Syarikat.

Bagaimanapun setelah hampir 20 tahun, perintah senarai hitam terhadap beliau bukan sahaja telah ditarik kembali, bahkan beliau telah dijemput menjadi tetamu kehormat oleh pentadbiran Donald Trump ke Amerika Syarikat.

Dalam usaha mengimbangi pengaruh China di Asia Tenggara, Amerika Syarikat bukan sahaja menarik kembali larangan ke atas Probowo, bahkan turut menyumbang sebanyak AS$2.3 juta dana pemulihan Covid-19 kepada Indonesia.

Perbincangan dua hala tersebut turut menyentuh potensi pembelian produk ketenteraan Amerika Syarikat seperti lapan unit pesawat MV-22 Block C Osprey dan peralatan lain yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion oleh Indonesia.

Di satu sisi yang lain, China dilihat beranjak daripada pendekatan keselamatan tradisional. Berikutan penularan wabak Covid-19, China telah menawarkan program kerjasama penghasilan vaksin kepada Indonesia. Jika usaha sama ini membuahkan hasil, ia bakal menjadikan Indonesia sebagai hub serantau bagi penghasilan vaksin anti Covid-19.

Sebagai negara pimpinan ‘de facto’ di Asean, dijangkakan negara tetangga lain seperti Philippines, Thailand, Myanmar mahupun Malaysia akan mengikut jejak langkah Indonesia dalam mempereratkan kerjasama strategik ekonomi dan kesihatan dengan China.

Pendekatan ‘serampang dua mata’ oleh China ini bukan sahaja menjadi alternatif dalam menemukan penawar wabak bahkan turut mampu menjana pertumbuhan ekonomi Indonesia.

Presiden Joko Widodo baru-baru ini telah menandatangani pelancaran ‘Special Economic Zone’ (SEZ) yang baru di Indonesia yang dianggarkan mampu menarik pelaburan asing sebanyak USD50 billion. Ia sudah semestinya dimanfaatkan oleh para pelabur dari China dalam usaha menguatkan pengaruh mereka di rantau Asia Tenggara.

Namun, ini tidak bermakna Indonesia rela menjadi ‘bidak catur’ dalam persaingan kuasa-kuasa besar. Doktrin dasar luar yang ‘bebas dan aktif’ menjadikan Indonesia mampu memainkan peranan aktif dalam mencorak landskap geopolitik khususnya di Asia Tenggara.

Berdasarkan pengamatan, Indonesia menggunakan strategi ‘hedging’ dalam hubungannya terhadap Amerika Syarikat dan China. 

Kerjasama strategik dalam bidang ekonomi akan dilakukan dengan China, manakala dalam bidang keselamatan dan pertahanan, Indonesia akan cenderung ke arah Amerika Syarikat. Ibarat kata pepatah, ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak’.

Menilai kepesatan perkembangan ekonomi Indonesia dan pergolakan geopolitik global, saya menjangkakan negara Muslim terbesar di dunia itu bakal muncul sebagai kuasa besar global dalam masa sepuluh tahun mendatang.


RIZAL HAMDAN ialah pemerhati dasar luar dan Pengarah Eksekutif Nadi Centre, sebuah badan pemikir.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.