Skip to main
Logo Malaysiakini

Skandal 1MDB: IPIC gugurkan saman terhadap Goldman Sachs

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) pada hari Rabu berkata pihaknya telah menggugurkan saman terhadap Goldman Sachs Group Inc bagi mendapatkan semula kerugian yang dialami melalui urus niaga bank pelaburan Amerika Syarikat dengan 1MDB.

Saman itu sebelum ini mendakwa Goldman bersekongkol dengan individu tidak dikenali dari Malaysia untuk merasuah bekas Pengarah Urusan IPIC serta Pengerusi Aabar, Khadem Abdulla al-Qubaisi, serta bekas Ketua Eksekutif, Mohamaed Ahmed Badawy al-Husseiny, bagi mengembangkan perniagaan mereka (Goldman Sachs dan 1MDB) dengan perbelanjaan daripada IPIC dan Aabar.

Mubadala Investment Co yang mengendalikan IPIC, telah menangguhkan urusan perniagaan dengan Goldman selepas tuntutan itu.

"Setelah perbincangan kolaboratif, IPIC menolak tuntutannya terhadap Goldman Sachs, yang berkaitan dengan isu-isu 1MDB," kata IPIC dalam satu kenyataan melalui e-mel pada Rabu.

Skandal itu wujud sejak di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Malaysia, Najib Abdul Razak, yang menubuhkan 1MDB pada 2009.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) menganggarkan bahawa AS$4.5 bilion (RM18.64 bilion) diselewengkan oleh pegawai peringkat tinggi dan sekutu mereka antara tahun 2009 dan 2014.

Malaysia pada bulan September menggugurkan tuduhan jenayah terhadap tiga unit Goldman setelah bank itu bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM 16.16 bilion) untuk menyelesaikan siasatan.

Bank pelaburan itu telah disiasat sekurang-kurangnya di 14 negara, termasuk Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura.

Goldman dijangka menyelesaikan dengan pihak berkuasa AS, akhir minggu ini, untuk menyelesaikan siasatan mengenai peranan bank itu dalam menaja jamin tiga penawaran bon pada tahun 2012 dan 2013 yang mengumpulkan AS$6.5 bilion (RM26.93 bilion) untuk kerajaan Malaysia.

Menurut Jabatan Kehakiman AS, Goldman memperoleh bayaran AS$ 600 juta (RM2.49 bilion) untuk urusannya dengan 1MDB.

- Reuters