Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjelasan mengenai arahan kerajaan agar bekerja dari rumah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PANDUANKINI| Terdapat banyak kekeliruan mengenai arahan kerajaan untuk bekerja dari rumah kepada pengurus dan penyelia di negeri di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Terdapat juga persoalan mengenai apakah ujian swab perlu dilakukan.

Panduankini ini bertujuan menjawab soalan-soalan tersebut berdasarkan sidang media Menteri Pertahanan, Ismail Sabri, soal jawab (FAQ) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan kenyataan akhbar dari Kementerian Sumber Manusia.

Siapa yang dikehendaki bekerja dari rumah?

Hanya pengurus dan penyelia di sektor rasmi yang dikehendaki bekerja dari rumah.

Siapa yang dianggap sebagai pihak pengurusan atau penyelia?

Miti mengatakan ini berdasarkan kepada polisi setiap syarikat.

Rujuk buku panduan sumber manusia dan kakitangan anda.

Bagaimana jika saya adalah kakitangan tetap?

Anda boleh terus bekerja seperti biasa dan mematuhi prosedur operasi standard antara lain seperti menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan sering mencuci tangan.

Industri apa yang tertakluk dengan arahan kerja dari rumah ini?

Semua industri tertakluk kepada arahan kerja dari rumah kecuali di sektor tidak rasmi atau dalam sektor pengangkutan, menurut Miti.

Kementerian mengatakan sektor tidak rasmi termasuk pekerja di sektor peruncitan, restoran dan perladangan, sementara penghantar barangan dianggap berada di sektor pengangkutan.

Tiada senarai industri yang terlibat?

Tidak ada pada masa ini kecuali pengecualian yang disebutkan sebelum ini.

Saya seorang pengurus yang dikehendaki bekerja dari rumah. Adakah terdapat pengecualian?

Kerajaan membenarkan 10 peratus mereka yang memegang jawatan pengurusan atau penyelia berada di pejabat.

Namun, mereka hanya boleh berada di pejabat selama 4 jam dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, tiga hari seminggu.

Bolehkah syarikat menukar empat jam ke masa yang berbeza?

Tidak. Pengurus yang dikecualikan arahan kerja dari rumah hanya boleh berada di pejabat selama 4 jam dari 10 pagi hingga 2 petang.

Saya mesti pergi ke pejabat, adakah saya perlu mengambil ujian saringan?

Ujian saringan Covid-19 adalah wajib bagi pekerja asing yang bekerja di sektor pembinaan dan sebagai pengawal keselamatan di zon merah.

Mereka yang menunjukkan simptom Covid-19 juga mesti menjalani ujian swab.

Bagi yang lain, ujian swab tidak wajib tetapi sangat digalakkan.

Bolehkah saya jalani ujian secara percuma?

Semua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) boleh diuji secara percuma di klinik panel.

Walau bagaimanapun, ia hanya percuma jika syarikat menjadualkan ujian untuk anda.

Bolehkah saya melakukan ujian di klinik lain?

Ya. Majikan anda boleh memohon subsidi untuk melakukan ujian di klinik panel bukan Perkeso.

Majikan anda perlu membuat pembayaran terlebih dahulu dan kemudian mengemukakan tuntutan kepada Perkeso.

Mereka akan mendapat rebat sebanyak RM150 untuk setiap pekerja yang diuji.