'Darurat': Pembangkang dakwa Muhyiddin cuba elak pilihan raya
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PN) membantah perisytiharan 'darurat' di seluruh negara dengan menyifatkannya sebagai tidak perlu memandangkan undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani wabak Covid-19.
Tidak lama selepas perkara itu didedahkan, pemimpin pembangkang mendakwa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin cuba menggunakan darurat untuk menggantung parlimen dan mengelakkan pilihan raya.
Langkah berkenaan diambil di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19 dan tekanan politik yang dihadapi perdana menteri dari luar dan dalam.
Di laman Twitter, bekas menteri kesihatan dan Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad berkata, perisytiharan darurat tidak perlu untuk mengatasi wabak tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat (DAP), M Kulasegaran berkata di negara-negara yang mencatatkan kes Covid-19 yang jauh lebih tinggi tidak memerlukan mereka mengisytiharkan darurat.
Anggota Parlimen Bakri DAP, Yeo Bee Yin pula berkata, penggunaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sudah cukup untuk mengawal wabak tersebut.
Yeo juga mempersoalkan apakah perdana menteri menggunakan darurat untuk terus kekal berkuasa.
Sementara itu Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi juga mempersoalkan apakah perisytiharan darurat adalah untuk memastikan kerajaan Perikatan Nasional kekal berkuasa dan mengelakkan Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Senator DAP Liew Chin Tong pula mengingatkan kerajaan untuk tidak 'menggunakan jalan pintas' dalam demokrasi kerana ini akan memberi kesan negatif kepada negara.
Anggota Parlimen Tanjong Malim (PKR), Chang Lih Kang juga mengingatkan bahawa perisytiharan darurat akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi.
Setakat jam 5 petang tadi, perkataan "darurat" menjadi topik trending di Twitter Malaysia.
Ungkapan "Muhyiddin Out" yang bermaksud penolakan terhadap perdana menteri, juga menjadi trending di Twitter.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
"Wabak (Covid-19) semakin serius dan ketua negara (YPD Agong) akan memutuskan apakah akan mengiytiharkan darurat," tulisnya dalam bahasa Mandarin di Facebook.
Dalam perkembangan yang sama, pemantau pilihan raya, Bersih berkata perisytiharan darurat yang melibatkan penggantungan parlimen dan kebebasan sivil sama seperti "rampasan kuasa" oleh kerajaan Muhyiddin untuk terus kekal berkuasa.
"Darurat memungkinkan kerajaan yang dilantik Agong membuat ordinan yang setara dengan Parlimen, dan ia akan terus dikuatkuasakan seolah-olah itu adalah tindakan parlimen sehingga ia ditarik balik dan dibatalkan, "kata Bersih dalam satu kenyataan oleh jawatankuasa pemandunya.
Ia menambah ordinan seumpama itu tidak boleh dicabar di mahkamah dan akan menyebabkan kerajaan persekutuan mengambil alih kuasa di peringkat negeri.
Sementara itu, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat pada masa ini.
"Pengisytiharan darurat akan menyebabkan gelombang kejutan kepada ekonomi, menyebabkan panik dan huru hara dalam pasaran kerana ia akan dilihat di peringkat antarabangsa dan domestik sebagai tanda pergolakan politik yang semakin buruk," katanya.
Setakat ini disahkan tidak akan ada pengumuman dari perdana menteri berkenaan perkara itu malam ini selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai