Skip to main
Logo Malaysiakini

'Darurat': Umno Johor mahu Putrajaya jelaskan alasan guna Perkara 150

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno Johor menuntut kerajaan Perikatan Nasional menjelaskan penggunaan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menyaranklan agar darurat diisytiharkan.

Pengerusinya Hasni Mohammad berkata pendirian itu disepakati selepas semua 26 ketua Umno bahagian di Johor memberikan pandangan dalam mesyuarat diadakan semalam.

"Umno Johor meminta penjelasan kerajaan Persekutuan terhadap penggunaan peruntukan Artikel 150 dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Perkara 150 Perlembagaan Malaysia adalah peruntukan berkaitan kuasa khas untuk menentang perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah yang memudaratkan orang awam.

Hasni berkata Umno Johor juga tidak bersetuju sejika Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan ketika wabak Covid-19 belum ditangani dan ketika ekonomi negara masih belum dapat ditangani.

Untuk rekod pembubaran parlimen atau DUN dibuat sebagai jalan untuk mengadakan pilihan raya umum, sama ada di peringkat parlimen atau negeri.

Selain itu, Hasni yang juga menteri besar Johor berkata, Umno juga akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri untuk memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang lebih demi kebajikan rakyat berdepan pandemik Covid-19.

"Sebagai sebuah parti, Umno Johor mendesak kerajaan negeri memperuntukan perbelanjaan yang lebih besar untuk kebajikan rakyat. Terutama sekali dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum selesai ini," katanya.

Satu lagi isu yang dibincangkan, kata Hasni, ialah berkaitan prestasi semua wakil rakyat Umno.

Katanya Umno Johor akan menjalankan kajian terperinci untuk mengukur sokongan sebenar rakyat terhadap parti itu.

"Umno Johor tidak akan berkompromi di atas sebarang kelemahan prestasi wakil-wakil rakyat," katanya.