Skip to main
Logo Malaysiakini

Darurat boleh tarik keluar pelaburan asing FDI - Pakar ekonomi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika kerajaan bertindak menampan dampak wabak Covid-19 terhadap ekonomi negara, pengisytiharan darurat akan terus mendorong pelabur asing menarik keluar pelaburannya di sini, menurut beberapa pakar ekonomi.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak Shazali Abu Mansor berkata walaupun keadaan darurat dapat memulihkan kestabilan politik buat sementara waktu, segmen pelabur asing tertentu akan melihatnya sebagai langkah tidak demokratik.

"Kita harus melihat dua perspektif. Pertama, yang baik ialah kerajaan dapat menumpukan perhatian kepada dasar-dasar ke arah pemulihan ekonomi.

"Tetapi dari segi pasaran (saham), pelabur asing memandang ini sebagai langkah tidak demokratik," katanya kepada Malaysiakini.

Ini lebih-lebih lagi, katanya bagi syarikat asing yang memberikan nilai tinggi pada kestabilan politik sebagai kriteria pelaburan.

"(Pengisytiharan) darurat bukanlah sesuatu yang mereka suka lihat kerana bagi mereka itu tidak demokratik.

"Kami mungkin melihat sejumlah penarikan keluar dana dari Bursa Saham Kuala Lumpur. Tetapi itu bergantung pada cara mereka melihat demokrasi sebagai faktor yang menentukan pelaburan mereka," katanya.

Mengenai pasaran domestik, Shazali (gambar, atas) berkata perniagaan tempatan akan lebih memahami sifat sementara daripada keadaan darurat dan itu akan memberi kesan minimum terhadap pelaburan mereka.

Sekiranya tiada pengumuman rasmi hari ini, Shazali berkata pasaran saham mungkin sudah menyerap berita mengenai kemungkinan darurat, pertama kali berspekulasi pada hari Jumaat setelah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Secara politiknya, negara kita tidak stabil sejak setahun terakhir. Bukan hanya sekarang [...] jadi walaupun ada kesannya, tidak akan banyak kerana keadaannya sudah tidak stabil.

"Daripada keadaan tidak stabil kepada keadaan darurat tidak banyak bezanya, tetapi jika daripada keadaan stabil kepada keadaan darurat, itu banyak perbezaan," katanya ketika ditanya mengenai jaminan diperlukan pasaran bagi mengelakkan ia merudum.

Untuk rekod, bagi tempoh 18-21 Mei, Bursa Saham Malaysia mencatatkan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM394.34 juta, ketika negara memasuki minggu ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, jumlah itu lebih rendah berbanding dua minggu berturut-turut sebelum ini, pada 12-14 Mei dan 4-7 Mei, yang masing-masing merekodkan RM734.18 juta dan RM736.28 juta jualan asing bersih.

Sebelum ini dilaporkan pelabur asing menjual pegangan bersih dengan nilainya melonjak kepada RM1.53 bilion dari 16 hingga 19 Mac lalu, berbanding aliran keluar bernilai RM1.43 bilion yang dicatatkan di antara 9 dengan 12 Mac, berikutan ketidaktentuan ketara yang dialami pasaran.

Pakar ekonomi Prof Barjoyai Bardai (gambar, bawah) pula berkata kesan pengisytiharan darurat terhadap ekonomi juga akan bergantung pada bagaimana pengumuman itu dibuat dan tahap pelaksanaannya.

"Sekiranya diumumkan sebagai situasi yang memerlukan kestabilan politik untuk memastikan aspek-aspek pentadbiran kerajaan dapat diteruskan, misalnya supaya belanjawan diluluskan, maka itu dapat memberi kesan positif terutama kepada para pelabur domestik," katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Program MBA Kewangan Islam Global di Universiti Tun Abdul Razak itu berkata walaupun dia tidak menjangka pelabur asing besar yang sudah berpengkalan di Malaysia akan menarik keluar pelaburannya, keadaan darurat dapat menunda bakal pelabur baru daripada melabur di sini.

"Kami melihat pada hari Jumaat bahawa pasaran saham 'terkejut' dan jatuh mendadak. Tetapi ia pulih tidak lama kemudian.

"Peningkatan semula ini disebabkan oleh kesedaran bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai banyak pilihan ... dan pasaran memahami hal ini, terutama pelabur domestik," katanya.

Dilaporkan pada Jumaat bahawa Bursa Malaysia secara amnya berada pada tahap berjaga-jaga kerana para pelabur diberitahu bahawa darurat dijangka akan diumumkan pada hari sama.

Indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dilaporkan mencecah paras terendah 1,490 mata sebelum ditutup, sementara ringgit melemah berbanding dolar AS pada akhir dagangan.

Pada jam 5 petang hari Jumaat, dilaporkan bahawa KLCI turun 4.16 mata atau 0.28 peratus kepada 1,494.64.

Bagi pelabur asing atau spekulator pasaran yang lebih kecil, Barjoyai berkata mereka dapat dengan cepat memindahkan wang mereka ke pasaran negara jiran, tetapi masih dengan pilihan yang terbatas kerana pergolakan baru-baru ini di Indonesia dan Thailand.

"Mungkin mereka akan pindah ke Singapura. Ini mungkin terjadi," tambahnya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng (gambar, bawah) berkata, ketidakpastian pasaran secara keseluruhan akan berterusan akibat pengisytiharan darurat.

"Mengambil langkah darurat tidak hanya menunjukkan krisis wabak di luar kawalan tetapi juga bantuan kepada kerajaan yang tidak stabil kerana mengelak atau menunda untuk menangani masalah dalam menegakkan kesahihannya melalui proses demokrasi.

"Bagi pelabur di pasaran kewangan, ini bermaksud 'menjual berpandukan berita' di tengah risiko politik yang meningkat walaupun pengisytiharan itu tidak mempengaruhi aktiviti ekonomi," kata Yeah, merujuk kepada amalan pasaran para pelabur menjual saham mereka berdasarkan laporan berita dan membeli mengikut khabar angin .

Dia juga setuju dengan Barjoyai bahawa pelaburan langsung asing kemungkinan akan menurun ketika bakal pelabur menghentikan keputusan pelaburan atau beralih ke tempat lain kerana keadaan politik negara yang tidak menentu.

Yang di-Pertuan Agong sedang bersidang bersama-sama Raja-Raja Melayu di Istana Negara petang ini untuk membincangkan cadangan perdana menteri, yang mungkin termasuk cadangan untuk mengisytiharkan darurat.

Pengkritik Muhyiddin mendakwa sebarang cubaan untuk mengisytiharkan darurat adalah tindakan terdesak untuk menangguhkan sidang parlimen yang akan datang pada 2 November, di tengah-tengah cabaran yang semakin meningkat terhadap pentadbiran PN.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.